
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Sik Choon Foo berkata, ketika kejadian, lelaki tempatan berusia 45 tahun yang memandu kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Perodua Alza membuat pusingan U dalam keadaan mencurigakan, sebelum memecut ke bandar Gua Musang.
Katanya, tindakan suspek dikesan sepasukan anggota polis dari cawangan kereta peronda polis Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang yang sedang membuat pemeriksaan di Jalan Gua Musang-Kuala Lipis, dekat Kampung Lepan Jaya, pada 9.30 pagi semalam.
“Anggota bertugas mengejar MPV itu yang memandu secara melulu, berbahaya serta melanggar lampu isyarat. Tidak cukup dengan itu, pemandu MPV turut bertindak melawan arus di hadapan IPD Gua Musang semasa dikejar anggota bertugas.
“Selepas 30km mengejar, kereta yang dinaiki suspek bergesel dengan kenderaan polis sebelum berhenti,” katanya menurut laporan Utusan Malaysia.
Sik berkata, berlaku pergelutan dalam proses tangkapan yang menyebabkan suspek mengalami luka kecil di bawah mata kanan, lebam di pipi kanan dan tapak tangan kiri, manakala seorang anggota polis luka di tapak tangan serta lutut.
Katanya, enam Pati warga Myanmar berusia 17 hingga 26 tahun itu, termasuk dua wanita yang tidak mempunyai dokumen perjalanan sah turut ditahan polis.
“Kami percaya suspek adalah penyeludup Pati dan sebelum penahanan semalam, lelaki itu menjemput enam warga Myanmar berkenaan dari sempadan Rantau Panjang untuk dibawa ke Kuala Lumpur.”
Kes itu disiasat mengikut Seksyen 26A Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007, Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen dan Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987.