
Oleh itu, hakim Zaini Mazlan membuat kesimpulan untuk tidak mempertimbangkan merit permohonan untuk merujuk dua persoalan undang-undang ke mahkamah tertinggi itu.
September lalu, Rewcastle Brown didakwa memfitnah Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah dalam bukunya “The Sarawak Report – The Inside Story of the 1MDB Expose” yang dikeluarkan di Malaysia empat tahun lalu.
Sebulan kemudian, dia memohon kes itu dipindahkan dari Mahkamah Majistret Kuala Terengganu ke Kuala Lumpur dan kemudian dibatalkan.
Permohonan itu dijadualkan untuk didengar pada 29 Mac.
Tetapi, Rewcastle Brown turut membuat permohonan rujukan untuk Mahkamah Persekutuan menentukan sama ada tuduhan itu mematuhi Perlembagaan.
Zaini berkata, walaupun permohonan Rewcastle Brown untuk memindahkan kes itu telah ditetapkan untuk pendengaran, tetapi permohonan rujukan itu belum diputuskan.
“Mahkamah belum memutuskan sama ada akan membenarkan kes terhadap pemohon (Rewcastle Brown) dipindahkan ke Mahkamah Tinggi di sini,” katanya.
Beliau berkata, Seksyen 84(1) Akta Mahkamah Kehakiman 1964 hanya terpakai jika prosiding didaftarkan di Mahkamah Tinggi.
Katanya, Seksyen 84(2) Akta Mahkamah Kehakiman membenarkan Mahkamah Tinggi menangguhkan prosiding jika soal Perlembagaan dirujuk kepada Mahkamah Persekutuan.
Beliau berkata, tiada prosiding untuk penangguhan jika “saya bersetuju bahawa persoalan yang dikemukakan mempunyai merit untuk dirujuk ke Mahkamah Persekutuan”.
Zaini berkata, beliau mendapati tidak sesuai untuk menangguhkan permohonan pemindahan bagi pelupusan soalan itu kerana mahkamah ini belum mengambil alih bidang kuasa ke atas kes jenayah Rewcastle.
Katanya, permohonan pemindahan itu perlu didengar dan diputuskan mahkamah ini terlebih dahulu.
Beliau berkata, Rewcastle Brown bebas membuat permohonan sama, jika kesnya dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.
Hakim itu menetapkan 12 Dis depan untuk mendengar permohonan pemindahan berkenaan.
Sultanah Nur Zahirah memfailkan saman RM300 juta terhadap Rewcastle Brown, penerbit Gerakbudaya Enterprise dan Chong Ton Sin serta pencetak Vinlin Press Sdn Bhd kerana memfitnahnya dalam buku itu.
Perbicaraan berakhir minggu lalu dan kedua-dua pihak akan membuat hujahan mereka bulan depan.