Kes SRC: Mahkamah Tinggi mungkin dengar keterangan baharu, kata peguam

Kes SRC: Mahkamah Tinggi mungkin dengar keterangan baharu, kata peguam

Peguam bela Najib Razak mesti memuaskan prinsip “common law” berkaitan penerimaan bahan bukti baharu.

Najib Razak disabitkan bagi tujuh tuduhan salah guna kuasa, pengubahan wang haram dan pecah amanah jenayah melibatkan dana SRC International berjumlah RM42 juta.
PETALING JAYA:
Mahkamah Persekutuan bakal menarik perhatian umum Isnin depan ketika prosiding mendengar usul Najib Razak bagi mengemukakan keterangan baharu dalam rayuannya melibatkan kes SRC International.

Ini susulan pengurusan kes terakhir di depan dua timbalan pendaftar mahkamah apex itu pada Rabu.

Timbalan Pendakwa Raya Ashrof Adrin Kamarul berkata pasukan pembelaan baharu Najib dan pihak pendakwaan masing-masing telah memfailkan hujah mereka berkaitan usul berkenaan.

Pendakwaan yang menjadi responden dalam rayuan utama Najib, juga telah memfailkan hujahnya bagi prosiding rayuan berkenaan. Bagaimanapun, peguam Najib memohon masa lanjut dan telah diberi tempoh sehingga Isnin untuk memfailkan hujahan mereka.

Dalam permohonannya, Najib berkata Hakim Nazlan Ghazali sepatutnya menarik diri daripada mendengar perbicaraan terhadapnya disebabkan konflik kepentingan susulan Nazlan pernah berkhidmat sebagai peguam dan setiausaha syarikat Kumpulan Maybank.

Bagaimanapun, pendakwaan berkata perkara itu tidak patut dibangkitkan pada masa ini kerana peranan Mohd Nazlan dengan bank berkenaan memang diketahui umum sejak 2018, sebelum perbicaraan SRC bermula pada April 2019.

Peguam A Srimurugan berkata, jika permohonan Najib dibenarkan, rayuan utama mesti ditangguhkan bagi membolehkan keterangan baharu itu dimasukkan.

Srimurugan berkata, untuk berjaya dalam permohonan itu, peguam Najib mesti memuaskan prinsip “common law” berkaitan penerimaan bahan bukti baharu.

Ini termasuk menunjukkan keterangan tidak tersedia ketika perbicaraan; adalah relevan dengan isu dibangkitkan; selain boleh dipercayai dan mungkin mewujudkan keraguan munasabah dalam kes itu.

Peguam Najib memohon mahkamah menerima keterangan bekas ketua pegawai eksekutif 1MDB Shahrol Azral Ibrahim Halmi; pegawai penyiasat kes SRC Rosli Hussein; dan tiga pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang merekodkan keterangan Nazlan baru-baru ini.

Srimurugan berkata, jika dibenarkan, keterangan baharu itu akan dimasukkan dalam rekod rayuan di depan Mahkamah Persekutuan.

“Mahkamah Persekutuan kemudian akan mendengar rayuan utama sebelum akhirnya memutuskan sama ada membenarkannya, seterusnya membebaskan Najib atau mengarahkan perbicaraan semula kes itu,” katanya.

Secara alternatif, katanya, Mahkamah Persekutuan mungkin juga mengekalkan sabitan dan hukuman Mahkamah Tinggi selain mengesahkan keputusan Mahkamah Rayuan.

Pada 28 Julai 2020, Najib dihukum penjara 12 tahun dan denda RM210 juta selepas didapati bersalah atas tujuh tuduhan salah guna kuasa, pengubahan wang haram dan pecah amanah jenayah melibatkan dana SRC International berjumlah RM42 juta. Sabitan dan hukuman itu dikekalkan Mahkamah Rayuan pada 8 Disember tahun lalu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.