
Ketua Polis Kuala Langat, Ahmad Ridhwan Mohd Nor@Saleh, berkata pihaknya menerima satu rakaman video berdurasi 33 saat melalui aplikasi WhatsApp yang dihantar orang awam, semalam.
Katanya, video itu memaparkan seorang wanita sedang menarik rambut serta mengheret kanak-kanak perempuan yang memakai seragam sekolah di jalan di hadapan rumah.
“Hasil siasatan suspek adalah wanita warga tempatan dan mangsa adalah anak angkat berdaftar kepada suspek yang dipercayai tinggal bersama sejak kecil dan kini berusia lingkungan 10 tahun.
“Bertindak atas maklumat, pasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat membuat serbuan di sebuah rumah dan berjaya menahan wanita itu,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, wanita berusia lingkungan 60-an itu ditahan di rumahnya pada 12.10 tengah malam tadi dan siasatan mendapati suspek tidak memiliki sebarang rekod lampau.
Ridhwan berkata, hasil siasatan, suspek mendakwa punca kejadian disebabkan mangsa beberapa kali mencuri wang miliknya dan tujuan dia berbuat demikian supaya mangsa tidak mengulangi perbuatan mencuri lagi.
“Kanak-kanak perempuan itu diselamatkan dan dihantar ke Hospital Banting untuk rawatan sebelum disahkan mengalami kecederaan ringan di kepala oleh pegawai perubatan.
“Kanak-kanak berkenaan diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM20,000 atau penjara hingga 10 tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan,” katanya.