
Justeru, Mah menjelaskan, Kementerian Pendidikan (KPM) akan memperhalusi perkara itu demi memelihara nama baik institusi pendidikan negara.
Katanya, perbincangan lanjut di peringkat kementerian itu juga akan diadakan bagi mengekang masalah berkenaan daripada terus berulang pada masa hadapan.
“Sebagaimana ibu bapa kepada anak mereka, begitu juga dengan guru, apabila tingkah laku mereka itu juga akan menjadi ikutan anak-anak murid, selain daripada ilmu yang disampaikan dalam kelas.
“Jadi pada pandangan saya, sebagai guru yang terlatih ini, mereka harus memahami tugas dan tanggungjawab sebenar apabila bergelar seorang guru,” katanya menurut Astro Awani.
Mah diminta mengulas tindakan segelintir guru terutama golongan muda yang memuat naik video berunsur negatif seperti berbaur seksual di TikTok, seperti yang tular baru-baru ini.
“Apa yang kita muat naik ke laman sosial ini akan menjadi tatapan umum. Adakalanya juga, sesuatu tindakan kita buat itu tidak dijangka tular.
“Justeru, saya menasihatkan warga pendidik untuk lebih berhati-hati dan menjadi contoh teladan terbaik kepada anak murid kita.
“Gunakan media sosial ini dengan cara yang elok seperti dengan menyampaikan ilmu pengetahuan dan menunjukkan contoh terbaik kepada masyarakat,” katanya.
Awal bulan ini, sebuah portal melaporkan seorang pemuda dikatakan guru telah memuat naik video pendek ke media sosial TikTok yang didakwa mempunyai unsur pengantunan seksual atau “sexual grooming”.
Terdahulu pada April pula, tular di Twitter perkongsian seorang pengguna memaparkan tangkap layar seorang guru yang melakukan sesi video secara langsung di aplikasi sama sambil mengajar dalam kelas.
Perlakuan itu mengundang pelbagai reaksi negatif khususnya daripada ibu bapa yang rata-rata tidak bersetuju dengan tindakan berkenaan.
Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) kemudian dalam satu kenyataan dilaporkan menasihatkan agar golongan pendidik dapat menggunakan aplikasi TikTok bagi tujuan pembelajaran dan bukan untuk mempopularkan diri.