Permohonan Rosmah gugur Sri Ram diputus 30 Ogos

Permohonan Rosmah gugur Sri Ram diputus 30 Ogos

Rosmah Mansor membuat permohonan baharu menggugurkan Gopal Sri Ram sebagai timbalan pendakwa raya kanan.

Rosmah Mansor berdepan pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta sebagai upah projek hibrid solar sekolah di luar bandar Sarawak.
KUALA LUMPUR:
Mahkamah Tinggi menetapkan 30 Ogos ini untuk memutuskan permohonan baharu Rosmah Mansor untuk menggugurkan Gopal Sri Ram sebagai timbalan pendakwa raya kanan dalam kes rasuah membabitkan projek hibrid solar bernilai RM1.25 bilion yang dihadapinya.

Hakim Ahmad Kamal Md Shahid menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujah peguam Rosmah iaitu Akberdin Abdul Kader dan Jagjit Singh serta Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan dan Sri Ram, yang mewakili dirinya sendiri.

Hakim berkata, beliau akan memberikan keputusan itu melalui e-mel.

Terdahulu, Shamsul yang mewakili Jabatan Peguam Negara permohonan semakan kehakiman Rosmah bagi memulakan cabaran perundangan berhubung perkara itu atas alasan ia adalah penyalahgunaan proses mahkamah.

“Pemohon cuba campur tangan dalam prosiding jenayah dengan mengemukakan cabaran di mahkamah sivil.

Sri Ram pula berhujah, permohonan Rosmah hari ini adalah umpama “meminta mahkamah menyemak semula keputusan mahkamah lain” selepas Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa pelantikan beliau adalah sah.

Isteri bekas perdana menteri Najib Razak itu pernah memfailkan permohonan serupa di Mahkamah Tinggi Jenayah di sini.

Bagaimanapun, permohonan itu ditolak dan keputusan tersebut dikekalkan oleh Mahkamah Rayuan serta Mahkamah Persekutuan.

Pada prosiding hari ini, Akberdin berhujah bahawa, anak guam beliau hendaklah dibenarkan memulakan cabaran perundangan itu serta mendakwa mereka mempunyai kes yang boleh dihujah dan Rosmah juga “terjejas teruk” susulan pelantikan Sri Ram sebagai pendakwa raya “ad hoc” dalam perbicaraan kes rasuahnya.

Rosmah, 70, memfailkan permohonan itu pada 24 Jun lalu di Mahkamah Tinggi (Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas) menamakan Peguam Negara/Pendakwa Raya, Kerajaan Malaysia dan Sri Ram sebagai responden.

Menerusi permohonan terbaharunya, Rosmah memohon satu deklarasi bahawa pelantikan Sri Ram sebagai Timbalan Pendakwa Raya Kanan melalui tiga surat pelantikan (fiat) bertarikh 8 Julai 2020, 11 Mei dan 21 Mei 2021, adalah tidak sah.

Selain itu, Rosmah memohon deklarasi bahawa keseluruhan prosiding pendakwaan dan perbicaraan penuh kes projek solar yang berlangsung sejak 15 Nov 2018 sehingga pembelaan menutup kesnya, adalah tidak sah serta batal dan beliau perlu dibebaskan daripada semua pertuduhan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Rosmah berdepan pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta daripada Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd Saidi Abang Samsudin melalui bekas pembantunya Rizal Mansor sebagai upah membantu syarikat itu mendapatkan projek bernilai RM1.25 bilion bagi menyalurkan tenaga hibrid solar kepada 369 sekolah di kawasan luar bandar Sarawak.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.