Mahkamah tangguh dengar permohonan Najib dapatkan dokumen syarikat berkait Zeti, Jho Low

Mahkamah tangguh dengar permohonan Najib dapatkan dokumen syarikat berkait Zeti, Jho Low

Pihak pembelaan memohon penangguhan singkat sementara menunggu peguam Shafee Abdullah yang sedang cuti sakit, pulih.

Bekas perdana menteri Najib Razak sedang dibicarakan atas 25 tuduhan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram berhubung dana 1MDB berjumlah RM2.28 bilion. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
Mahkamah Rayuan menangguhkan pendengaran permohonan Najib Razak untuk mendapatkan dokumen berkaitan syarikat yang dikawal keluarga Zeti Akhtar Aziz dan ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho, bagi perbicaraan 1MDB membabitkannya.

Peguam Effa Azuin Aidrul Hisham memberitahu mahkamah, peguam Shafee Abdullah, yang sepatutnya menghujahkan permohonan itu, tidak sihat dan telah diberi cuti sakit.

Beliau menggesa mahkamah membenarkan penangguhan singkat sementara menunggu Shafee pulih.

“Kami bersedia untuk teruskan,” tambah Effa.

Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib tidak membantah penangguhan itu.

Hakim Ravinthran Paramaguru membenarkan permohonan pihak pembelaan. Hakim lain yang bersidang ialah Abu Bakar Jais dan Hashim Hamzah.

Pengurusan kes akan dijalankan di mahkamah untuk menetapkan tarikh baharu bagi pendengaran.

Peguam Sofea Shereen Mohamed Salim menyampaikan arahan memerhati bagi Zeti dan keluarganya.

Tahun lepas, Mahkamah Tinggi menolak permohonan Najib untuk mendapatkan dokumen berkaitan syarikat yang dikawal keluarga Zeti dan Low.

Hakim Collin Lawrence Sequerah berkata, permohonan untuk mendapatkan dokumen itu terlalu awal.

Beliau berkata, dokumen yang diminta Najib untuk mempersoalkan kredibiliti Zeti sebagai gabenor Bank Negara Malaysia ketika itu serupa seperti “serangan kolateral”.

Bekas perdana menteri itu sedang dibicarakan atas 25 tuduhan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram berhubung dana 1MDB berjumlah RM2.28 bilion yang didepositkan ke dalam akaun AmBanknya antara Februari 2011 dan Disember 2014.

Perbicaraan bersambung bulan depan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.