
Dalam hantaran di Facebook, Sydney Yap, berkata “berbanding mengambil tindakan positif” untuk menyemak semula keadaan kerja wartawan selepas beliau mengutarakan kebimbangan berhubung pelbagai amalan birokrasi di Bernama, ketua pegawai eksekutifnya, Roslan Ariffin sebaliknya “membuat tuduhan palsu terhadapnya”.
“…(ini) sangat tidak profesional dan saya akan memuat naik kenyataan penuh sebagai respon secepat mungkin.”
Bagaimanapun, pembaca berita itu tidak menghurai lanjut tuduhan palsu didakwa diperkatakan Roslan.

Yap, yang akan meninggalkan agensi berita itu, sebelum ini, berkata beliau meluahkan segalanya pada hari-hari terakhir bersama Bernama bertujuan menimbulkan kesedaran berhubung masalah membelenggu media berkenaan.
Terdahulu, dilaporkan Bernama mahu mengambil tindakan saman terhadap penyampai berita itu kerana didakwa memfitnah mengenai dakwaan unit siaran berita Mandarin yang berdepan pemotongan bajet dan kurang masa bersiaran.
Yap menulis panjang lebar dalam hantaran di Facebook, minggu lalu, selepas Bernama mengumumkan program berita Mandarin 6 petang hanya akan ke udara dari Isnin hingga Khamis.
Dalam hantaran berkenaan, beliau mendakwa timbul isu kakitangan susulan gaji termasuk dipotong, selain penangguhan pengambilan kakitangan kerana kerenah birokrasi.
Bagaimanapun, bercakap kepada Malaysiakini, semalam, Roslan berkata, berita tersebar adalah laporan dalaman dan cadangan daripada Jabatan Sumber Manusia Bernama, selain mereka mencadangkan tindakan undang-undang kerana penyampai berita itu masih dalam kontrak.
Sambil menyatakan memilih berbincang dengan Yap, beliau bagaimanapun mempersoalkan mengapa Yap tidak mengemukakan sebarang aduan sepanjang tiga tahun bersama Bernama TV.
Katanya, Yap turut menerima kenaikan gaji setiap tahun.