
Lim berkata, ibu kanak-kanak tersebut menghubunginya untuk meminta bantuan membayar deposit kemasukan wad di Hospital Selayang.
Kanak-kanak berusia 4 tahun itu yang retak tulang pinggul perlu menjalani pembedahan segera supaya dia dapat berjalan seperti biasa, tambahnya.
“Pihak hospital akan memberikan sebut harga kos pembedahan serta bil penuh hospital untuk dijelaskan,” katanya dalam catatan di Facebook.
“Saya telah memberikan komitmen saya untuk berusaha menanggung segala kos perubatan anak tersebut.
“Apa yang menjadi keutamaan saya adalah untuk melihat anak ini selamat dan dapat bergerak semula.”
Kanak-kanak itu yang dilaporkan kritikal susulan kejadian pada mulanya ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Selayang sebelum dilapor dipindahkan ke wad biasa pada Isnin.
Dalam kejadian awal pagi 2 Ogos itu, seorang lelaki warga Myanmar mencampak tiga anaknya – dua lelaki dan seorang perempuan – sebelum terjun dari MRR2.
Lelaki tersebut dan dua kanak-kanak terbabit disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala seorang lagi kanak-kanak dihantar ke Hospital Selayang untuk rawatan lanjut.