Ahli Parlimen persoal larangan pesakit, staf guna khidmat penghantar makanan

Ahli Parlimen persoal larangan pesakit, staf guna khidmat penghantar makanan

Dr Kelvin Yii berkata, tanggungjawab KKM adalah untuk menjaga kebajikan kakitangannya, bukan perniagaan swasta di hospital.

Pekeliling bertarikh 9 Ogos mengenai larangan perkhidmatan penghantaran makanan bagi kakitangan dan pesakit sebuah hospital.
PETALING JAYA:
Seorang Ahli Parlimen pembangkang mempersoalkan pekeliling yang melarang penggunaan perkhidmatan penghantaran makanan bagi pesakit dan kakitangan di sebuah hospital, menyifatkannya sebagai “tidak logik” dan “tidak adil”.

Ahli Parlimen Bandar Kuching Dr Kelvin Yii berkata, beliau dimaklumkan bahawa arahan itu dikeluarkan untuk “melindungi kafeteria”.

“Saya telah mengesahkan (kesahihan) pekeliling itu dengan doktor-doctor di hospital tersebut,” katanya ketika dihubungi.

Buat masa ini, FMT enggan menamakan hospital tersebut.

Terdahulu Yii, yang juga pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) mengenai Kesihatan berkata, langkah “membantu” kafeteria tidak sepatutnya mengorbankan kakitangan penjagaan kesihatan, terutamanya mereka yang bertugas selepas kafeteria ditutup pada 6 petang.

“Saya harap Kementerian Kesihatan (KKM) mengambil perhatian perkara ini. Menjadi tanggungjawab kementerian untuk menjaga kebajikan kakitangan penjagaan kesihatannya, bukan (menjaga) perniagaan swasta di hospital,” katanya di Twitter.

Menurut pekeliling bertarikh 9 Ogos itu, yang turut dikongsi menerusi akaun Twitter Yii, ketua-ketua jabatan di hospital itu telah bersetuju untuk menguatkuasakan larangan tersebut.

“Ketetapan larangan ini dibuat antara lain berikutan terdapat laporan dan aduan peningkatan kuantiti sisa makanan/sampah sarap yang tidak terurus dan gangguan makhluk perosak yang menjejaskan kebersihan dalam wad,” menurut pekeliling itu.

Pihak hospital juga mengingatkan kakitangan kafeteria untuk menambah baik perkhidmatan dan menyediakan makanan untuk kakitangan lain dan pengunjung berdasarkan keperluan mereka.

Kumpulan Hartal Doktor Kontrak turut berkongsi rasa tidak puas hati berhubung perkara ini.

“Logik KKM, larang penghantaran makanan. Larang sajalah (orang) makan supaya tiada sisa dihasilkan,” katanya dalam ciapan di Twitter.

“Yang buat keputusan dah lupa kot rasa tengah ‘on call’ dan rasa lapar, sebab tu buat keputusan macam ni.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.