Tiada isu lantik individu masuk politik jadi pesuruhjaya Suhakam

Tiada isu lantik individu masuk politik jadi pesuruhjaya Suhakam

Seorang pesuruhjayanya, Ragunath Kesavan berkata, lantikan Hasnal Rezua Merican Habib Merican dan Nazira Abdul Rahim, tiada sebarang ketetapan menghalang ahli politik dilantik ke jawatan itu.

Pelantikan Hasnal Rezua Merican Habib Merican dan Nazira Abdul Rahim disifatkan sebagai peguam yang bagus dan menjunjung kedaulatan undang-undang, kata seorang pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam), Ragunath Kesavan.
KUALA LUMPUR:
Seorang pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) mempertahan lantikan dua pesuruhjaya yang dikaitkan dengan parti politik.

Dalam sidang media, Ragunath Kesavan, menyebut lantikan Hasnal Rezua Merican Habib Merican dan Nazira Abdul Rahim tidak bercanggah dengan Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia 1999.

“Tidak ada sebarang ketetapan yang menghalang mana-mana individu daripada dilantik walaupun mempunyai pertalian politik,” kata Ragunath.

“Kedua-dua mereka adalah peguam yang bagus dan menjunjung kedaulatan undang-undang, jadi ianya tidak menimbulkan sebarang isu berkaitan dengan penglibatan politik mereka”.

Mengulas mengenai pelantikan Rahmat Mohamad sebagai Pengerusi Suhakam yang sebelum ini menasihati Majlis Raja-Raja bagi menolak Statut Rome, Ragunath berkata, apa sahaja yang dilakukan Rahmat adalah atas kapasiti beliau sebagai seorang pensyarah undang-undang di Universiti Teknologi Mara (UiTM).

“Bagi menjalankan tugas hak asasi manusia, ianya patut terbuka kepada semua orang dari latar belakang yang berbeza” katanya.

Sebelum ini pelantikan Rahmat dipersoal Ahli Parlimen Klang Charles Santiago kerana menasihati Majlis Raja-Raja bagi menolak Statut Rome.

Selain itu, Charles juga turut mempersoalkan pelantikan Hasnal Rezua Merican Habib Merican dan Nazira Abdul Rahim disebabkan oleh pertalian politik mereka dengan Umno dan Barisan Nasional.

Beliau juga mendesak Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob membatalkan pelantikan kedua-dua mereka yang disifatkannya sebagai aktif berpolitik dan menggantikan mereka dengan individu lain yang lebih neutral.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.