
Menteri Kanan Pertahanan Hishammuddin Hussein berkata, semua dilakukan demi kepentingan tentera laut dan demi wang awam yang dibelanjakan serta demi kepentingan negara.
“Saya dan Mindef (Kementah) akan lakukan apa sahaja bagi memastikan isu ini dapat diselesaikan serta memberikan kerjasama penuh kepada semua badan berkuasa yang melakukan siasatan seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK) serta audit forensik,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Hishammuddin berkata, Kementah memberi jaminan bahawa keputusan kabinet pada hari ini bahawa kerajaan setuju supaya Laporan Pengauditan Forensik Projek LCS yang dijalankan pada tahun 2019 dinyahklasifikasikant idak akan mengganggu tiga perkara yang telah beliau tegaskan beberapa kali sebelum ini.
“Pertama, TLDM memerlukan LCS dan sebab itu ia mesti diteruskan selaras dengan keputusan jemaah menteri pada April 2022.
“Kedua, pihak yang salah tetap salah dan mesti dihadapkan ke muka pengadilan.
“Ketiga, dalam tempoh enam bulan ini, Mindef juga sedang giat melakukan kerja-kerja rundingan dengan pihak OEM, vendor dan perbankan sebagai pelan mobilisasi bagi memastikan LCS dapat disiapkan,” katanya.
Belia berkata, justeru, penting untuk semua pemegang taruh kekal fokus terhadap usaha meneruskan projek LCS, demi memastikan TLDM dapat memiliki LCS yang sangat mereka perlukan dengan secepat mungkin.
Terdahulu, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan setuju supaya Laporan Pengauditan Forensik Projek LCS yang dijalankan pada tahun 2019 dinyahklasifikasikan.
Katanya, laporan JKSTUPKK yang dipengerusikan oleh bekas ketua audit negara, Ambrin Buang juga dibenarkan untuk disiarkan kepada umum.
Ismail berkata, bagaimanapun proses berkenaan perlu mendapat nasihat dan pandangan peguam negara dan ketua audit negara terlebih dahulu.