Selepas dipecat Bersatu, Gobi Krishnan kini bukan lagi ahli Lembaga Perlesenan KL

Selepas dipecat Bersatu, Gobi Krishnan kini bukan lagi ahli Lembaga Perlesenan KL

Menteri Wilayah Persekutuan Shahidan Kassim berkata mengikut undang-undang seseorang yang bankrap tidak boleh menjadi ahli Lembaga Pelesenan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

S Gobi Krishnan dipecat sebagai ahli Sayap Bersekutu Bersatu, pada 3 Ogos, selepas didapati bankrap.
KUALA LUMPUR:
Menteri Wilayah Persekutuan Shahidan Kassim membatalkan pelantikan S Gobi Krishnan sebagai ahli Lembaga Pelesenan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL), berkuat kuasa 4 Ogos.

Shahidan berkata, kementerian telah membuat carian kebankrapan individu menerusi Jabatan Insolvensi Malaysia pada 3 Ogos dan keputusan diterima mengesahkan Gobi Krishnan berstatus bankrap, mulai 7 Jan 2021.

“Berdasarkan semakan undang-undang yang dibuat oleh kementerian ini, didapati walaupun telah berstatus bankrap, pelantikan beliau bagi tempoh 20 Jul 2021 hingga 3 Ogos 2022 adalah teratur serta tidak melanggar mana-mana undang-undang dan peraturan.

“Akta Eksais 1976 (Akta 176) tidak memperuntukkan bahawa seseorang yang bankrap tidak boleh dilantik menjadi Ahli Lembaga Pelesenan. Akta itu juga tidak memperuntukkan bahawa jawatan itu secara automatiknya menjadi kosong jika Ahli Lembaga Pelesenan berstatus bankrap,” katanya dalam kenyataan.

Shahidan berkata, Gobi Krishnan telah dilantik sebagai ahli Lembaga Pelesenan WPKL berkuat kuasa mulai 20 Jul 2021 hingga 19 Jul 2023 berdasarkan perwakilan kuasa yang dibuat mengikut Seksyen 86 Akta 176 yang telah pun diwartakan melalui P.U. (B) 359/2014 pada 24 Julai 2014.

“Dalam hal ini, Menteri Kewangan telah mewakilkan kuasanya di bawah seksyen 31 Akta 176 kepada Menteri Wilayah Persekutuan untuk menubuhkan Lembaga Pelesenan dan melantik ahli Lembaga Pelesenan bagi Wilayah Persekutuan,” katanya.

FMT melaporkan, pada 3 Ogos, Ketua Sayap Bersekutu Bersatu Chong Fat Full, mengumumkan pemecatan Gobi Krishnan daripada parti berkenaan.

Keputusan itu dibuat selepas sayap itu mendapati Gobi Krishnan diisytiharkan muflis, tahun lalu.

Bagaimanapun, Gobi Krishnan dalam kenyataan balas, berkata Chong telah bertindak bertentangan dengan perlembagaan parti kerana sebagai ketua sayap bersekutu, beliau tidak mempunyai kuasa melantik atau memecat sesiapa sahaja.

Beliau mendakwa, perlembagaan parti menetapkan bahawa hanya lembaga tatatertib boleh memecat ahli melalui proses yang sewajarnya.

Gobi Krishnan juga menuduh Chong menggunakan faktor kaum ketika bercakap pada sidang media.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.