Rehatkan ‘kuda lama’ atau Umno ‘mati’ dalam 10 tahun, kata Nur Jazlan

Rehatkan ‘kuda lama’ atau Umno ‘mati’ dalam 10 tahun, kata Nur Jazlan

Timbalan ketua Umno Johor itu menyarankan Umno memberi peluang kepada calon muda untuk meneruskan legasi perjuangan parti itu.

Nur Jazlan Mohamed berkata, Umno tidak boleh terlalu bergantung harap kepada pengundi matang sedia ada, sedangkan peluang untuk meraih sokongan pengundi muda terbuka luas. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Seorang pemimpin Umno Johor tidak menolak kemungkinan parti itu akan “mati” dalam hati orang muda dalam tempoh 10 tahun lagi, jika ia tidak berubah mengikut trend dengan merehatkan “kuda-kuda lama”.

Timbalan Ketua Umno Johor, Nur Jazlan Mohamed berkata, parti itu harus berani menampilkan lebih ramai calon muda seperti yang dilakukan pada pilihan raya negeri (PRN) Johor.

“Rehatkanlah lebih ramai kuda-kuda tua atau pemimpin veteran parti, terutamanya mereka yang tiada lagi hati untuk berjuang atau bersama ketetapan parti.

“Berilah pula peluang kepada calon-calon muda untuk meneruskan legasi perjuangan Umno,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, mungkin ramai akan terkejut dengan kenyataannya, tetapi itulah realiti pada pilihan raya umum ke-16 (PRU16) dan berharap Umno tidak dibuai cara pemikiran lama.

“Hakikatnya dunia dan lanskap politik sudah banyak berubah.

“Pengundi muda bakal mendominasi cita rasa dan pilihan selepas PRU15 dan bermula PRU16 pula, pengundi matang Umno hanya tinggal berapa kerat saja lagi,” katanya.

Nur Jazlan juga mempersoalkan sampai bila Umno mahu melihat parti lain seperti DAP, PKR dan Muda mempengaruhi golongan muda.

Katanya, Umno tidak boleh terlalu bergantung harap kepada pengundi matang sedia ada saja, sedangkan peluang untuk meraih sokongan pengundi muda terbuka luas.

“Saya menyokong penuh kenyataan Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi pada Konvensyen Barisan Nasional Selangor bulan lalu, yang minta kepimpinan BN negeri memberi peluang kepada muka baharu dan golongan profesional sebagai calon dalam usaha merampas kembali Selangor daripada Pakatan Harapan.

“Kata Zahid, golongan ‘warlord’ BN sebagai orang politik perlu berjiwa besar untuk menerima kelompok profesional dan orang muda sebagai calon PRU15 nanti,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.