Projek LCS sudah bermasalah ketika PH memerintah, bekas menteri nafi tuduhan Najib

Projek LCS sudah bermasalah ketika PH memerintah, bekas menteri nafi tuduhan Najib

Mohamad Sabu dan timbalannya Liew Chin Tong berkata, tohmahan Najib bahawa PH telah membeku projek LCS selama 15 bulan untuk siasatan adalah satu penipuan.

Mohamad Sabu dan Liew Chin Tong berkata, projek LCS bernilai RM9 bilion itu telah mengalami masalah kewangan sebelum PH mengambil alih kerajaan.
PETALING JAYA:
Bekas menteri pertahanan, Mohamad Sabu dan timbalannya ketika itu, Liew Chin Tong menafikan dakwaan Najib Razak bahawa Pakatan Harapan (PH) telah membekukan projek kapal tempur pesisir (LCS) ketika mereka berkuasa.

Sebaliknya, mereka dalam satu kenyataan menegaskan, projek bernilai RM9 bilion itu telah mengalami masalah kewangan sebelum PH mengambil alih kerajaan.

“Tohmahan Najib bahawa PH telah membeku projek LCS selama 15 bulan untuk siasatan adalah satu penipuan,” kata mereka.

Hakikatnya, Mohamad yang lebih dikenali Mat Sabu dan Liew berkata syarikat Boustead Naval Shipyard (BNS) yang diberikan projek itu telah berhutang dengan institusi kewangan sebanyak RM869 juta, sementara RM767 juta kepada pengilang peralatan asal (OEM) setakat Ogos 2019.

“Hutang-hutang lain adalah RM 102.2 juta. Jumlah hutang pada Ogos 2019 adalah sebanyak RM 1.738 billion.

“(Ia menyebabkan) Ramai sub-kontraktor dan OEM tidak lagi teruskan kerja kerana hutang. Kerajaan PH tidak ‘membeku’ projek LCS,” jelas mereka.

Baru-baru ini, Najib dilaporkan berkata, PH “tengok sahaja” dan “membisu” ketika LCS pertama gagal diserahkan pada 2019.

Najib turut mempersoalkan status projek itu dari Mei 2018 hingga September 2019, dan mendakwa, PH telah melewatkan projek dan membekukan sepenuhnya projek LCS pada 2019.

Sementara itu, Mat Sabu dan Liew meminta Menteri Kanan Pertahanan Hishammuddin Hussein menjelaskan sama ada penggunaan dana LCS untuk membiayai hutang lapuk projek Kapal Peronda Generasi Baharu (NGPV) sebagai satu kesalahan jenayah.

“Kami terkejut dengan kenyataan Ketua Eksekutif Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) Ahmad Nazim Abdul Rahman bahawa sebahagian daripada dana LCS digunakan untuk membiayai hutang lapuk BNS untuk projek lama, iaitu NGPV yang bermula pada 1998 dan berakhir pada 2010 dengan ‘rescue fund’ daripada kerajaan sebanyak RM1.4 bilion tanpa sebarang pertambahan peralatan mahupun ‘scope of work’.

“Hishamuddin mesti jawab adakah dia bersetuju dengan Ahmad Nazim bahawa dana LCS boleh digunapakai untuk membayar hutang NGPV.”

Terdahulu, Nazim di Facebook berkata BNS terpaksa menggunakan sebahagian daripada dana perolehan LCS untuk membayar hutang lapuk projek lain.

Ini kerana BNS – yang pemegang saham terbesarnya adalah LTAT – terpaksa mengambil alih PSC Industries Bhd yang dibebani hutang, sebuah syarikat yang gagal menunaikan kontrak RM9 bilion untuk membina enam kapal peronda luar pesisir (OPV).

“Selepas kegagalan projek penswastaan pembinaan kapal-kapal tentera laut yang diberi kepada syarikat PSC satu ketika dulu, BNS terpaksa mengambil alih syarikat ini demi menyelamatkan kerugian di seluruh rantaian kewangan dan ekonomi,” kata Nazim.

Kontrak NGPV dikeluarkan pada 1998 dan BNS mengambil alih PSC pada 2005.

Justeru, mereka menggesa Hishammuddin menjelaskan perkara berbangkit itu di Dewan Negara pada minggu depan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.