Penjawat awam persoal motif siasat KPPA tegur pegawai imigresen

Penjawat awam persoal motif siasat KPPA tegur pegawai imigresen

Tindakan Shafiq Abdullah menegur pegawai imigresen di KLIA ialah langkah tepat, kata seorang penjawat awam.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Shafiq Abdullah didakwa mengeluarkan kata-kata kesat ketika menegur seorang pegawai imigresen di KLIA apabila pasportnya tidak diimbas atau dicop. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Beberapa penjawat awam kanan dikatakan tidak senang dengan layanan kerajaan terhadap Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Shafiq Abdullah berhubung teguran “kasarnya” terhadap seorang penjawat awam yang didakwa lalai dalam menjalankan tugas.

Menurut mesej WhatsApp yang tersebar dalam kumpulan perkhidmatan awam, penubuhan jawatankuasa khas dianggotai pegawai tinggi untuk menyiasat Shafiq membayangkan langkah berbaur politik.

Tambahnya, turut wujud kemungkinan pihak tertentu menggunakan kejadian yang didakwa berlaku itu untuk mengecilkan peluang beliau dilantik sebagai ketua setiausaha negara (KSN).

Siasatan itu dijalankan untuk menentukan sama ada Shafiq mengeluarkan kata-kata kesat ketika menegur seorang pegawai imigresen KLIA di depan khalayak ramai.

KSN semasa, Zuki Ali, genap 60 tahun esok dan belum ada pengumuman sama ada tempoh perkhidmatannya akan dilanjutkan melalui kontrak atau akan digantikan. Shafiq genap 58 tahun hari ini.

Seorang penjawat awam kanan yang enggan dinamakan memberitahu FMT, tindakan menegur pegawai tidak cekap atau cuai menjadi kebiasaan bagi Shafiq ketika menjadi ketua setiausaha Kementerian Kesihatan (KKM), sebelum menjadi KPPA.

Sumber itu berkata, Shafiq pegawai yang tegas dan tidak akan bertolak ansur dengan pegawai tidak mencapai prestasi ditetapkan atau kurang pengetahuan tentang tugas mereka.

Tambahnya, semasa berkhidmat di KKM, Shafiq memastikan individu yang tepat mengetuai setiap unit.

“Apa yang dilakukannya di KLIA ialah apa yang patut dilakukan seorang pegawai kanan dalam keadaan itu demi tahap perkhidmatan awam lebih baik.

“Apabila ia membabitkan kelalaian yang mengancam keselamatan negara, bolehkah diterima jika penjawat awam berpangkat tinggi tidak menghiraukannya?

“Masalahnya, ramai pegawai sudah terbiasa ditegur secara lembut. Jadi, ada yang terkejut apabila seorang pegawai gagal menjalankan tugas ditegur secara terbuka begitu.”

Seorang lagi pegawai memuji cara Shafiq mengendalikan situasi Covid-19 dengan berkata, beliau memastikan sumber dioptimumkan.

“Kami tahu cara beliau bekerja dan pada masa sama mendorong pegawai lain untuk melakukan yang terbaik.

“Ini perkara yang tidak dapat dinafikan sesiapa, termasuk menteri kesihatan dan ketua pengarah.”

Katanya, Shafiq menegur pegawai imigresen itu kerana terkejut pasportnya tidak diimbas atau dicop.

Beliau berkata, penubuhan jawatankuasa khas dianggotai pegawai tinggi itu keterlaluan kerana perdana menteri sendiri mengumumkan ada video mengenai kejadian itu, justeru mudah untuk mengesahkan apa berlaku sebenarnya.

“Pegawai dalam perkhidmatan awam terkejut jawatankuasa tersebut dianggotai ketua jabatan yang penting dan sibuk. Tidakkah mereka ada perkara lebih penting untuk diselesaikan?

“Pada kami, ini seolah-olah satu cara menghalang laluan Shafiq menjadi KSN, jawatan yang dijangka kosong apabila Zuki bersara,” katanya.

Sabtu lepas, Zuki mengumumkan jawatankuasa khas itu diketuai Peguam Negara, Idrus Harun dan dianggotai Ketua Polis Negara, Acryl Sani Abdullah Sani, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki dan Ketua Audit Negara, Nik Azman Nik Abdul Majid.

Jawatankuasa itu dijadual mengadakan mesyuarat pertamanya Jumaat ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.