
“Pendekatan dan sudut pandang rayuan itu akan berubah sama sekali,” kata sumber, yang tidak mahu dinamakan.
Perubahan itu tampak dalam afidavit yang disediakan pasukan peguam baharu Najib dan difailkan minggu lepas, katanya.
Kini peguam Najib dijangka tumpu pada isu teras, iaitu Hakim Nazlan Ghazali, membicarakan kes walaupun mempunyai konflik kepentingan berhubung orang-perseorangan, peristiwa, dan isu yang beliau pernah tangani semasa perbicaraan.
Pasukan baharu bekas perdana menteri akan berhujah Nazlan sepatutnya secara suka rela menarik diri daripada menghakimi perbicaraan memandangkan beliau selaku peguam Maybank terlibat dalam perbincangan dan keputusan yang membawa kepada penubuhan SRC International sebagai anak syarikat 1MDB, serta pemberian pinjaman sebanyak RM4.17 bilion kepada 1MDB dan RM140 juta kepada Putra Perdana Development.
Mereka juga mahu menegaskan meskipun Nazlan tidak menganggap hal sebegitu relevan pada permulaan prosiding, sewajarnya beliau menarik diri sebaik sahaja fakta-fakta itu timbul ketika perbicaraan. Menurut sumber, Nazlan pada masa itu sepatutnya segera menarik diri kerana terdapatnya “konflik kepentingan yang amat serius”.
Di samping itu, mereka akan berhujah kegagalan hakim itu mendedahkan konflik kepentingan beliau sebelum atau semasa perbicaraan telah menyebabkan Najib tidak berpeluang memohon Nazlan menarik diri.
Pada masa sama, mereka akan berusaha meyakinkan Mahkamah Persekutuan bahawa peristiwa-peristiwa selepas perbicaraan dan rayuan awal mewajarkan keterangan-keterangan tambahan diterima masuk, bagi menentukan sama ada Nazlan menghakimi perbicaraan dalam kedudukan berlakunya konflik kepentingan.
Pasukan peguam Najib akan berhujah bahawa mahkamah harus mendengar keterangan lisan beberapa saksi, termasuk empat penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, sebelum memutuskan isu konflik kepentingan hakim itu.
Di sebalik semua ini, afidavit terbaharu Najib itu bagaimanapun jelas menunjukkan beliau tidak mahu para peguamnya menarik perhatian kepada asas siasatan SPRM terhadap Nazlan.
Di samping itu, peguam beliau tidak akan menyoroti sebarang dakwaan ketidakwajaran di sebalik perpindahan keluar Hakim Mahkamah Tinggi, Sofian Razak, dari mahkamah di mana perbicaraan berlangsung.
“Penghujahan akan menggunakan nada yang neutral tanpa dipengaruhi perasaan,” kata sumber.
“Hujah yang akan dibuat adalah hak Najib yang dijamin Perlembagaan telah dicabuli, begitu juga prinsip-prinsip asas keadilan asasi.
“Pada asasnya, maklumat, keterangan, dan dokumen baharu itu mendedahkan konflik kepentingan hakim terbabit. Memandangkan tiga benda itu tidak tersedia atau diketahui sehinggalah selepas rayuan kepada Mahkamah Persekutuan difailkan, maka wajarlah sekiranya mahkamah memerintahkan kes dibicarakan semula demi keadilan dan kesaksamaan.”
Najib disabit bersalah atas tujuh tuduhan salah guna kuasa dan penggelapan dana RM42 juta yang dikaitkan dengan SRC International pada 28 Julai 2020, menyusuli perbicaraan yang berlangsung selama 76 hari. Beliau dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta.
Rayuannya kepada Mahkamah Rayuan ditolak pada 8 Dis tahun lepas.
Mahkamah Persekutuan menetapkan permohonan Najib memohon perbicaraan semula dan rayuan akan didengari mulai 15 hingga 26 Ogos.