
Najib berkata demikian menjawab kenyataan bekas menteri pertahanan, Mohamad Sabu dan timbalannya ketika itu, Liew Chin Tong, yang menafikan Pakatan Harapan “membisu” berhubung projek LCS bernilai RM9 bilion ketika berkuasa.
“Lagi pengakuan dari bekas menteri dan timbalan menteri pertahanan PH bahawa projek LCS terhenti ketika mereka memerintah setelah banyak kali didesak saya untuk dedahkan kadar kemajuan projek sebelum dan selepas PRU14.
“Kali ini, mereka kata ianya sebab masalah kecairan kewangan di Boustead dan bukan arahan dari kerajaan PH. Oh, baiklah. Bermaksud terhenti juga,” kata Najib di Facebook.
Menurut Najib, Boustead Naval Shipyard milik LTAT.
Lembaga itu ditubuhkan pada bulan Ogos 1972 sebagai badan berkanun di bawah Akta Tabung Angkatan Tentera 1973 dengan Boustead Naval Shipyard merupakan syarikatnya.
“Sekiranya Boustead mengalami masalah kecairan kewangan untuk terus memajukan projek penting bagi negara, kenapa pula kerajaan PH dan LTAT bawah penjagaan kerajaan PH tak buat apa-apa untuk membantu Boustead menyelesaikan masalah dan meneruskan projek,” soalnya.
Jelasnya, tindakan tersebut menyebabkan dividen dan bonus LTAT ketika pentadbiran PH sangat rendah iaitu 2% dan 2.5%.
Terdahulu, Mohamad dan Liew nafi membisa berkaitan isu tersebut. Menurut mereka, projek LCS dihentikan kerana masalah kewangan yang bermula sebelum PH berkuasa.
Mohamad dan Liew berkata, kemajuan projek itu mencapai 50.15% pada Januari 2018, sedangkan ia sepatutnya mencapai 70% siap ketika itu dan ia hanya siap 56.39% berbanding 82.41% pada Januari 2020.
Mereka berkata, jaminan Menteri Pertahanan Hishammuddin Hussein bahawa LCS pertama yang dibina BNS akan siap dalam setahun dua lagi “tidak realistik” kerana reka bentuk terperinci yang sepatutnya dimuktamadkan pada November 2016 hanya siap kira-kira 80% ketika itu.
Hakikatnya, Mohamad yang lebih dikenali Mat Sabu dan Liew, berkata BNS yang diberikan projek itu telah berhutang dengan institusi kewangan sebanyak RM869 juta, sementara RM767 juta kepada pengilang peralatan asal (OEM) setakat Ogos 2019.