Imigresen serbu ‘private party’, 84 warga asing ditahan

Imigresen serbu ‘private party’, 84 warga asing ditahan

Kesemua 84 warga asing ditahan kerana kesalahan tinggal lebih masa, tiada dokumen atau pas yang sah selain menyalahguna pas.

Ketua Pengarah Imigresen, Khairul Dzaimee Daud berkata, warga ditahan kerana tinggal lebih masa, tiada dokumen atau pas yang sah selain menyalahguna pas.
PETALING JAYA:
Seramai 84 warga asing berumur antara 20 hingga 50 tahun ditahan Jabatan Imigresen (JIM) dalam siri penguatkuasaan di dua buah premis berasingan dekat ibu kota, pada Sabtu.

Ketua Pengarah Imigresen, Khairul Dzaimee Daud berkata, seramai 365 individu telah diperiksa dan 84 warga asing ditahan kerana kesalahan tinggal lebih masa, tiada dokumen atau pas yang sah selain menyalahguna pas.

Menurutnya, serbuan pertama dilakukan di sebuah ‘private party’ di Bukit Bintang manakala serbuan kedua di penempatan warga asing di Brickfields.

“JIM menyerbu sebuah private party yang dianjurkan warga tempatan namun tetamunya terdiri warga asing dengan majoritinya dari benua Afrika.

“Semasa pemeriksaan, berlaku beberapa aksi provokasi dan cubaan melarikan diri melalui pintu belakang premis. Seramai 171 individu diperiksa dan 25 daripadanya ditahan terdiri petugas majlis, artis persembahan, pelayan dan tetamu,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, setiap tetamu dikenakan bayaran RM150 secara dalam talian dan lokasi acara hanya akan dimaklumkan pada hari terakhir bagi mengelakkan dikesan pihak berkuasa.

Menurutnya, parti itu menghidangkan minuman keras dan persembahan yang menjolok mata.

“Rata-rata artis membuat persembahan dan tetamu terdiri warga asing selain mereka yang memegang pas pelajar asing.

“Serbuan kedua pula melibatkan penempatan berbentuk kontena tiga tingkat di Brickfields dengan kebanyakannya terdiri warga Bangladesh, Indonesia, Myanmar, Pakistan dan Nepal,” ujarnya.

Dalam operasi itu, katanya, 294 warga asing diperiksa dan daripada jumlah itu, 59 ditahan kerana kesalahan tinggal lebih masa dan termasuk juga peserta Program Rekalibrasi PATI yang ditolak.

Kesemua tahanan dibawa ke Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.