Bernama nafi dakwaan wartawan, akan saman

Bernama nafi dakwaan wartawan, akan saman

Bernama menafikan dakwaan Yap Xi Ni bahawa agensi berita kerajaan itu memotong gaji pekerja dan merendahkan kualiti berita Mandarinnya.

Bernama berkata tindakan terhadap wartawan penyiarannya, Yap Xi Ni diambil kerana dakwaan dibuat menjejaskan imej dan reputasi agensi itu serta kerajaan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) akan mengemukakan saman fitnah terhadap seorang wartawan penyiarannya kerana didakwa membuat tuduhan tidak berasas ke atas agensi kerajaan itu.

Agensi itu berkata tindakan terhadap Yap Xi Ni itu diambil kerana dakwaan dibuatnya menjejaskan imej dan reputasi Bernama serta kerajaan, menurut Malaysiakini.

Bernama turut menafikan dakwaan Yap bahawa syarikat itu memotong gaji pekerja dan merendahkan kualiti berita Mandarinnya.

Agensi itu berkata, ketika mengambil alih penerbitan berita Mandarin daripada sebuah syarikat swasta pada 2019, petugas yang diserap bersetuju dengan gaji ditawarkan malah diberi kenaikan tahunan setiap kali kontrak diperbaharui.

Menjawab dakwaan kualiti berita Mandarin pula, Bernama berkata penerbitan berita dikurangkan daripada tujuh hari kepada lima hari seminggu pada bulan ini sebagai langkah segera sementara berikutan kekurangan petugas.

“Masalah kekurangan petugas di Meja Mandarin, bukan sahaja dihadapi oleh Bernama, tetapi difahamkan juga berlaku di stesen televisyen lain yang juga mengendalikan berita Mandarin,” kata Bernama.

Agensi itu turut memaklumkan Yap merupakan wartawan penyiaran (kontrak)) sejak 2019 yang tidak menyambung kontrak sedia ada yang akan tamat 31 Ogos 2022.

Sementara itu, Yap berkata dia mempertahankan pendiriannya dan bersedia sebarang kemungkinan.

“Saya serahkan kepada pasukan peguam saya,” katanya dalam bahasa Mandarin di media sosial.

Dalam tulisan lain, dia juga berkata, isu itu bukan hanya melibatkan masyarakat Cina dan berita Mandarin Bernama saja, tetapi juga hak petugas media sebagai pekerja.

Sementara itu, Gerakan Media Merdeka (Geramm) dalam kenyataan berpandangan sebarang tindakan penjimatan yang diambil termasuk pemotongan gaji atau pembekuan kenaikan gaji perlu dibincangkan bersama bagi mencapai persetujuan kedua-dua pihak.

“Menjadi tanggungjawab setiap syarikat untuk menjamin hak pekerja termasuk hak mendapatkan cuti dan gaji, kenaikan gaji tahunan sesuai dengan perjanjian bersama syarikat,” kata kumpulan itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.