
Ketua Komunikasi Korporat Air Selangor, Elina Baseri berkata, kerja penambahbaikan itu siap pada 5.30 pagi tadi dan bekalan air dijangka pulih sepenuhnya 8 pagi esok.
“Bekalan air mula disalurkan kepada pengguna bermula 8 pagi tadi secara berperingkat-peringkat apabila sistem agihan bekalan air telah distabilkan.
“Kelewatan ini disebabkan isu-isu teknikal di tapak kerja,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, Air Selangor memohon maaf atas kesulitan yang dialami pengguna dan akan berusaha memastikan proses pemulihan bekalan di 188 kawasan terjejas berjalan lancar.
Katanya, Air Selangor akan terus menggerakkan lori tangki air ke kawasan terjejas dengan keutamaan buat premis kritikal seperti hospital, klinik, pusat dialisis dan upacara pengebumian.
Pengguna boleh mendapatkan maklumat berhubung gangguan bekalan air berjadual dari semasa ke semasa menerusi saluran komunikasi rasmi seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan Twitter atau hubungi Air Selangor di talian 15300.
“Sebarang pertanyaan dan aduan boleh diajukan ke Help Centre di laman www.airselangor.com dan aplikasi Air Selangor.”