3 maut dalam 2 kemalangan berasingan di Tawau

3 maut dalam 2 kemalangan berasingan di Tawau

Kemalangan membabitkan dua remaja yang menaiki motosikal dan seorang pejalan kaki wanita.

Dua remaja yang menaiki motosikal maut dalam kemalangan di Jalan Apas, Tawau, manakala seorang pejalan kaki wanita maut ketika melintas jalan di Jalan Persisiran.
PETALING JAYA:
Dua remaja dan seorang wanita maut dalam dua kemalangan berasingan, di Jalan Apas dan Jalan Persisiran, di Tawau, semalam.

Dalam kejadian di Batu 3 1/2, Jalan Apas, dua remaja terbabit menaiki motosikal sebelum merempuh sebuah pacuan empat roda.

Kejadian berlaku kira-kira pukul 3.15 petang dengan kedua-dua lelaki warga asing berusia 17 tahun itu disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Tawau, Jasmin Hussin berkata, siasatan awal mendapati pemandu lelaki berusia 62 tahun itu dalam perjalanan dari Taman Bintang menuju ke Batu 3 1/2, Jalan Apas.

Katanya, pemandu Toyota Hilux yang keluar dari persimpangan lorong susur berkenaan dipercayai cuba membuat pusingan U telah dilanggar oleh motosikal jenis Yamaha 125ZR yang datang dari arah sebelah kiri di jalan lurus.

“Akibat kemalangan itu, penunggang dan pembonceng maut di tempat kejadian manakala pemandu Toyota Hilux tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, di bulatan Jalan Persisiran, seorang pejalan kaki wanita maut selepas dirempuh bas mini ketika cuba melintas jalan terbabit.

Dalam kejadian 9.55 pagi itu, mangsa yang berusia lingkungan 30 tahun itu meninggal dunia di lokasi kejadian.

Jasmin berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila pemandu bas mini berusia 34 tahun bergerak dari arah Pasar Tanjung menghala ke Terminal Bas, Sabindo.

Katanya, ketika kejadian, mangsa dipercayai sedang melintas jalan menyebabkan pemandu bas mini itu gagal mengelak berikutan jarak yang terlalu dekat dan terus merempuh mangsa.

“Mangsa terhumban hampir dua meter atas jalan raya dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Manakala pemandu bas mini tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.