2 ditahan serang anggota MBJB kerana tak puas hati disaman

2 ditahan serang anggota MBJB kerana tak puas hati disaman

Punca kedua-dua suspek menyerang anggota penguat kuasa itu dipercayai kerana tidak berpuas hati dengan saman dikeluarkan atas kesalahan menghalang lalu lintas, kata polis.

Polis berkata, kedua-dua suspek akan direman bagi siasatan lanjut kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas.
PETALING JAYA:
Dua lelaki ditahan selepas disyaki menyerang serta menghalang tugas anggota penguat kuasa Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) yang mengeluarkan saman ke atas mereka.

Dalam kejadian kira-kira 11.30 pagi di Jalan Sutera, Taman Sentosa semalam, anggota MBJB berusia 23 tahun itu cedera di kulit kepala akibat dipukul suspek menggunakan tangan dan ditolak ke jalan raya.

Menurut Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Raub Selamat, ketika kejadian anggota penguat kuasa itu mengeluarkan saman ke atas kenderaan suspek yang diparkir dalam keadaan menghalang lalu lintas menyebabkan suspek yang tidak berpuas hati itu menyerang mangsa dan berlaku pergelutan.

“Kedua-dua mereka kemudian melarikan diri. Bagaimanapun, tindakan pantas peronda polis yang tiba di lokasi kejadian berjaya menahan kedua-dua suspek yang bersembunyi dalam kereta kira-kira 500m dari tempat kejadian,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Raub berkata, seorang daripada suspek cedera di muka dipercayai akibat bergelut dengan mangsa dan menerima dua jahitan.

Katanya, hasil siasatan awal mendapati kedua-dua suspek yang juga rakan itu menyerang anggota penguat kuasa berkenaan kerana tidak berpuas hati dengan saman yang dikeluarkan atas kesalahan menghalang lalu lintas.

Beliau berkata, dua warga tempatan berusia 42 dan 47 tahun itu akan direman bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.