Agong mahu rakyat sokong RUU kawalan produk tembakau

Agong mahu rakyat sokong RUU kawalan produk tembakau

Baginda merasakan perkara itu adalah usaha cukup murni dan berharap seluruh rakyat memberi sokongan dan dukungan supaya rang undang-undang itu dapat dikaji dan diteliti.

Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah melawat pameran selepas merasmikan Kompleks Institut Kesihatan Negara (NIH) di Setia Alam. (Gambar Bernama)
SHAH ALAM:
Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah menzahirkan rasa bangga terhadap usaha kerajaan dalam menjamin dan memelihara kesihatan generasi akan datang, menerusi pembentangan Rang Undang-Undang Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 di Parlimen baru-baru ini.

Sultan Abdullah berkata secara peribadi baginda merasakan perkara itu adalah satu usaha yang cukup murni, dan berharap seluruh rakyat Malaysia memberi sokongan dan dukungan supaya rang undang-undang itu dapat dikaji dan diteliti.

“Baru-baru ini saya begitu bangga setelah mendapat maklum daripada kerajaan khususnya perdana menteri (Ismail Sabri Yaakob), satu lagi rang undang-undang yang dibentang di Parlimen berkaitan rang undang-undang (mengenai) kawalan tembakau dan rokok telah diputuskan untuk dikaji lebih mendalam,” kata baginda ketika merasmikan Kompleks Institut Kesihatan Negara (NIH) di Setia Alam.

Turut berangkat ke majlis itu Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, dan majlis turut dihadiri Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin dan isteri Nori Abdullah.

Pada 2 Ogos lepas, Dewan Rakyat meluluskan usul supaya Rang Undang-Undang Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 yang meletakkan sasaran untuk melahirkan generasi penamat (GEG) bagi merokok menjelang tahun 2040, dirujuk ke Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen.

“Dari segi pelaksanaannya terpulang kepada pihak kerajaan untuk menentukan cara dan bila melaksanakannya. Jadi ini adalah satu usaha terbaik, bagi saya untuk menjaga kesihatan generasi akan datang lebih terpelihara dan terjamin, untuk mendapat satu tahap kesihatan yang lebih baik,” kata baginda.

Baginda berkata anak-anak muda perlu dididik untuk mengamalkan amalan-amalan terbaik agar perkara yang boleh menjejaskan kesihatan dapat dikurangkan, dan paling penting dapat mengurangkan perbelanjaan kerajaan di hospital-hospital dalam negara.

Pada masa sama, baginda turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada warga kerja Kementerian Kesihatan yang memberi perkhidmatan terbaik sewaktu negara memerangi Covid-19.

Sultan Abdullah turut menzahirkan ucapan tahniah kepada Khairy atas pelantikan beliau sebagai Naib Presiden bagi Persidangan Kesihatan Sedunia (WHA) Ke-75 yang secara tidak langsung memberi pengiktirafan kepada beliau dan Malaysia.

Mengenai penubuhan Kompleks NIH, Agong berkata ia merupakan satu lagi titik tolak penanda aras bagi masa hadapan untuk membawa soal-soal kesihatan ke tahap yang lebih baik demi kesejahteraan dan kesihatan rakyat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.