
Ketua Komunikasi Korporat Air Selangor, Elina Baseri berkata gangguan air yang bermula 9 pagi tadi dijangka pulih sepenuhnya di semua kawasan terbabit pada 1:00 pagi Khamis ini.
“Kerja-kerja penambahbaikan dan penyenggaraan aset ini dijangka akan siap pada 9 malam hari ini.
“Bekalan air akan mula disalurkan secara berperingkat-peringkat kepada para pengguna setelah sistem bekalan air distabilkan,” katanya dalam kenyataan.
Katanya, Air Selangor telah menggerakkan lori-lori tangki air ke kawasan terjejas dengan memberikan keutamaan kepada premis kritikal seperti hospital, klinik, pusat dialisis dan upacara pengebumian.
“Bagi pelanggan komersial pula, bekalan air terawat boleh dibeli di kaunter khidmat pelanggan Air Selangor Wilayah Petaling dan Gombak.
“Bagi tujuan ini, pelanggan komersial boleh menggunakan lori tangki air masing-masing di dua stesen pengisian air di Batu Caves dan Damai Utama, Puchong,” katanya.
Tambahnya, pengguna boleh mendapatkan maklumat berhubung gangguan bekalan air berjadual dari semasa ke semasa menerusi saluran komunikasi rasmi Air Selangor.