Saham Air Selangor: PH mungkir, BN sedia tebus janji, kata Jamal Yunos

Saham Air Selangor: PH mungkir, BN sedia tebus janji, kata Jamal Yunos

Ketua komunikasi BN Selangor berkata parti sedia mengkaji cadangan membuka pemilikan saham Air Selangor yang tidak sempat ditunaikan bekas Menteri Besarnya, Khalid Ibrahim.

Ketua Komunikasi BN Selangor Jamal Yunos berpandangan BN harus mengambil peluang menebus kembali janji dibuat kerajaan Pakatan Rakyat Selangor itu.
PETALING JAYA:
Barisan Nasional (BN) sedia mengkaji cadangan membuka pemilikan saham Air Selangor kepada rakyat negeri itu yang tidak sempat ditunaikan bekas menteri besarnya, Khalid Ibrahim ketika di era pentadbiran Pakatan Rakyat (PR).

Ketua Komunikasi BN Selangor Jamal Yunos berkata perkara itu yang dicadangkan bekas perdana menteri Najib Razak akan dipertimbangkan jawatankuasa profesional diketuai Pengerusi BN Selangor, Noh Omar yang turut bertanggungjawab merangka manifesto pilihan raya.

Beliau berpandangan BN harus mengambil peluang menebus kembali janji dibuat kerajaan PR Selangor yang dianggotai PKR, DAP dan PAS menjelang pilihan raya umum (PRU) 2013 itu.

PAS bagaimanapun keluar gabungan itu bagi menghadapi PRU 2018 manakala dua lagi membentuk Pakatan Harapan (PH) bersama Amanah yang kini memerintah Selangor.

“Disebabkan perjanjian tersebut, mereka menang dalam pilihan raya itu. Ini menggambarkan rakyat Selangor memang percaya bahawa kerajaan itu akan menunaikan segala perjanjian yang disenaraikan dalam manifesto mereka.

“Saranan Najib itu pernah dibuat bekas menteri besar Khalid Ibrahim, tetapi dimansuhkan selepas PH ambil alih kerajaan negeri Selangor. Ini amat mendukacitakan apabila rakyat tidak dapat merasai nikmat kekayaan negeri,” katanya kepada FMT.

Najib dalam hantaran di Facebook pada Khamis mencadangkan BN meletakkan pemberian saham Air Selangor kepada rakyat negeri itu dalam manifesto PRU akan datang bagi meneruskan hasrat Khalid.

Khalid yang meninggal dunia pada 31 Jul lalu tidak sempat menunaikan impiannya itu selepas dipecat daripada PKR pada September 2014, digantikan Azmin Ali yang ketika itu masih bersama PKR.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.