
Noor Farida Mohd Ariffin yang juga ahli G25 berkata, jawatankuasa yang ditubuhkan untuk menyiasat dakwaan terhadap Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) Mohd Shafiq Abdullah itu tidak perlu dianggotai ketua-ketua agensi kerajaan.
“Pegawai (kerajaan) berpangkat rendah sudah memadai (menjadi anggota),” katanya.
Diterajui Peguam Negara Idrus Harun, jawatankuasa itu turut dianggotai Ketua Polis Negara (KPN) Acryl Sani Abdullah Sani, Ketua Audit Negara Nik Azman Nik Abdul Majid dan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki.
Ketua Setiausaha Negara Mohd Zuki Ali berkata, jawatankuasa itu ditugaskan untuk menjalankan siasatan menyeluruh bagi memastikan keadilan ditegakkan.
Katanya, penemuan dan saranan jawatankuasa itu akan dibentangkan kepada perdana menteri.
Ismail sebelum ini berkata, beliau percaya perkara ini tidak sukar disiasat kerana terdapat video mengenai kejadian yang didakwa berlaku itu.
Bekas menteri sumber manusia M Kula Segaran, yang turut diminta mengulas mengenai barisan jawatankuasa itu menyifatkannya “tidak masuk akal”.
“Semua (dakwaan) ini boleh disahkan menerusi teknologi. Tiada keperluan untuk semua orang ini (pegawai berpangkat tinggi) terlibat.”
Kula juga bertanya kepada Ismail mengapa jawatankuasa pilihan khas Parlimen tidak ditugaskan untuk menyiasat kejadian yang didakwa berlaku itu. Badan seperti itu lebih tidak berat sebelah dan bebas, tegasnya.
Ahli Parlimen Ipoh Barat itu berharap hasil siasatan tidak akan “didiamkan”. Katanya, penting agar kertas putih dibentangkan di Parlimen untuk memperincikan penemuan jawatankuasa tersebut atas dasar ketelusan.
Bekas KPN Musa Hassan mempersoalkan mengapa Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) tidak dilibatkan untuk menyiasat dakwaan itu.
“Apa pun, terpulang kepada kerajaan jika mereka mahu mempunyai jawatankuasa yang dianggotai pegawai tinggi.
“Jemaah Menteri telah meluluskannya,” katanya kepada FMT.
JPA menyifatkan dakwaan bahawa Shafiq mengeluarkan kata-kata kesat terhadap pegawai imigresen di KLIA pada Rabu sebagai tidak berasas dan berniat jahat. Dakwaan sedemikian bertujuan mencemarkan imej Shafiq, katanya.
Katanya lagi, Shafiq menegur pegawai imigresen bernama James Lee atas ketidakpatuhan amalan dan prosedur kerana tidak menyemak dokumen perjalanan dan pasportnya serta delegasinya.
JPA turut menegaskan teguran itu tidak dibuat di khalayak ramai.
Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin turut menggesa Ketua Pengarah Imigresen Khairul Dzaimee Daud menjalankan siasatan bagi “mendapatkan gambaran yang lebih jelas” mengenai kejadian itu.