Rundingan DAP Sarawak, PSB hadapi PRU15 temui jalan buntu

Rundingan DAP Sarawak, PSB hadapi PRU15 temui jalan buntu

Ini susulan DAP tidak dapat memenuhi permintaan presiden PSB untuk menyerahkan satu kerusi Parlimen kepada parti itu.

Ketua DAP Sarawak, Chong Chieng Jen berkata, Presiden PSB, Wong Soon Koh pada awalnya bersetuju untuk menggunakan logo DAP dalam PRU15. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
DAP Sarawak mengesahkan rundingan dengan Parti Sarawak Bersatu (PSB) untuk bekerjasama pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15) menemui jalan buntu.

Ia susulan PSB pimpinan Wong Soon Koh meletakkan syarat supaya DAP ‘mengorbankan’ satu kerusi Parlimen kepada parti itu.

Ketua DAP Sarawak, Chong Chieng Jen menegaskan, jika PSB mahu bekerjasama dalam PRU15 nanti, parti itu perlu ada keikhlasan dan tidak meletakkan syarat seperti itu.

“Saya rasa jika kita mahu kerjasama, itu adalah permintaan yang tidak munasabah lah. Ini bermakna anda perlu menggugurkan seorang Ahli Parlimen sedia ada untuk memberi laluan kepada PSB.

“Situasi ini seolah-olah menahan kami untuk wang tebusan. Anda boleh meminta Soon Koh mengesahkan perkara ini,” katanya menurut Astro Awani.

April lalu, DAP Sarawak mengadakan pertemuan bagi membincangkan kerjasama dengan parti pembangkang lain di Sarawak pada PRU15.

Chong seperti dilaporkan Malaysiakini berkata, DAP Sarawak memiliki autonomi penuh untuk membentuk kerjasama dengan mana-mana parti politik di negeri itu meskipun masih kekal dalam Pakatan Harapan.

Katanya, keputusan pilihan raya negeri (PRN) Sarawak sebelum ini, jelas terdapat keperluan untuk parti pembangkang utama di Sarawak bekerjasama untuk mengambil alih daripada Gabungan Parti Sarawak.

Pada PRN Sarawak lalu, pembangkan terutama DAP merekod prestasi buruk apabila hanya memenangi dua daripada 24 kerusi yang ditandinginya manakala PKR tewas di semua 28 kerusi.

PSB yang bertanding buat pertama kali di DUN Sarawak menang empat kerusi iaitu Batu Lintang, Ba’kelalan, Bawang Assan dan Engkilili.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.