
Dalam satu kenyataan hari ini, Umno Putrajaya menyatakan langkah berkenaan sedikit sebanyak membantu penjawat awam untuk menampung kenaikan kos sara hidup yang tidak boleh dielakkan.
“Mesyuarat Umno bahagian Putrajaya yang dipengerusikan oleh Tengku Adnan Tengku Mansor telah membuat keputusan untuk menyokong perjuangan Cuepacs (Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam) untuk peningkatan gaji skim perjawatan kerajaan.
“Sudah lama penjawat awam menggunakan skim gaji yang lama yang tiada penambaikan dan semakan gaji kerajaan sejak sekian lamanya, kali terakhir penetapan gaji minimum pada takat RM1,200 sebelum ini diperkenal pada tahun 2013.
“Pemberian kenaikan gaji kepada pegawai perkhidmatan awam persekutuan di bawah sistem saraan Malaysia kali terakhir pula hanya dilaksanakan pada 15 tahun yang lalu,” kata kenyataan itu.
Kenyataan itu berkata, gaji penjawat awam di negara Asia lain adalah lebih tinggi mengikut dapatan purata yang dikeluarkan oleh Bank Dunia termasuklah India, Korea, dan Thailand.
Katanya, peningkatan gaji adalah penting untuk membantu kawalan gejala rasuah dalam kalangan penjawat awam.
“Kenaikan Gaji Tahunan yang dijanjikan BN ketika PRU14 adalah wajar dipertimbangkan semula untuk menjaga kebajikan penjawat awam.
“Oleh demikian, Umno Putrajaya memandang serius perjuangan ini dan memberikan sokongan penuh kepada Cuepacs untuk memelihara kepentingan penjawat awam di seluruh negara.
“Umno Putrajaya meminta kerajaan mengkaji semula gaji dan elaun kakitangan awam sejajar dengan kenaikan harga barang dan kos sara hidup.
“Mesyuarat juga bersetuju untuk turun sama berpiket bersama dengan Cuepacs sekiranya ia diadakan,” kata kenyataan itu lagi.