Penduduk Langkawi dapat diskaun beli tiket feri dalam talian

Penduduk Langkawi dapat diskaun beli tiket feri dalam talian

Golongan OKU dan warga emas turut dapat menikmati potongan harga istimewa yang sebelum ini hanya terpakai menerusi pembelian di kaunter.

Kadar tambang feri dinaikkan sebanyak RM3 ke RM3.50 bagi laluan Langkawi ke Kuala Perlis dan Kuala Kedah berkuat kuasa Jumaat lepas. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Penduduk Langkawi, golongan orang kurang upaya (OKU) dan warga emas akan menikmati potongan harga istimewa apabila membeli tiket dalam talian selepas Konsortium Ferry Line Ventures Sdn Bhd menambah baik sistem itu selewat-lewatnya pada 1 Okt nanti.

Bagaimanapun, surcaj RM1 akan dikenakan untuk dibayar kepada ejen yang mengendalikan jualan tiket berkenaan, menurut Pengurus Sumber Manusia dan Operasi konsortium itu, Kapten Baharin Baharom.

“Surcaj tidak akan dikenakan jika membeli tiket secara terus di kaunter,” katanya pada sidang media di Langkawi malam tadi, lapor Bernama.

Sebelum ini, penduduk Langkawi, golongan OKU dan warga emas hanya menikmati potongan harga menerusi pembelian di kaunter.

Konsortium Ferry Line Ventures Sdn Bhd, gabungan tujuh syarikat feri penumpang terbesar di negara ini, sebelum ini mengumumkan kenaikan kadar tambang feri sebanyak RM3 ke RM3.50 bagi laluan Langkawi ke Kuala Perlis dan Kuala Kedah, berkuat kuasa Jumaat lepas.

Bagaimanapun, kadar tambang bagi penduduk Langkawi, golongan OKU dan warga emas berusia 60 tahun ke atas kekal bagi kedua-dua laluan feri berkenaan bagi pembelian di kaunter. Bagi pembelian dalam talian, harga tiket bagi golongan tersebut sama seperti penumpang lain.

Kadar tambang baharu bagi golongan dewasa dan kanak-kanak warganegara untuk laluan Langkawi-Kuala Perlis dan Kuala Perlis-Langkawi meningkat RM3 kepada masing-masing RM21 dan RM16.

Bagi laluan Langkawi-Kuala Kedah dan Kuala Kedah-Langkawi pula kadar baharu adalah RM26.50 bagi golongan dewasa warganegara berbanding RM23 sebelum ini. Bagi kanak-kanak warganegara, tambang meningkat sebanyak RM3.50 kepada RM20.50.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.