Pekerja asing baharu di Sarawak perlu jalani saringan malaria

Pekerja asing baharu di Sarawak perlu jalani saringan malaria

Agensi kerajaan atau swasta dalam sektor komersial di Sarawak perlu memastikan semua pekerja asing menjalani pemeriksaan perubatan, termasuk saringan malaria.

Sebanyak 19 kematian direkodkan daripada keseluruhan 7,291 kes malaria zoonotik dan malaria manusia jangkitan import di Sarawak dari 2016 hingga 2021. (Gambar Bernama)
SIBU:
Pekerja asing yang akan bekerja di Sarawak diminta menjalani saringan malaria dan pemeriksaan perubatan lain yang ditetapkan kerajaan bagi membendung penularan penyakit itu.

Timbalan Menteri Kesihatan II, Aaron Ago Dagang berkata, ini kerana 19 kematian direkodkan daripada keseluruhan 7,291 kes malaria zoonotik dan malaria manusia jangkitan import di negeri itu dari 2016 hingga 2021.

Beliau berkata, agensi kerajaan atau swasta dalam sektor komersial seperti perladangan, perlombongan, dan pembinaan di Sarawak perlu memainkan peranan dalam memastikan semua pekerja asing menjalani pemeriksaan perubatan, termasuk saringan malaria seperti ditetapkan kerajaan.

“Majikan juga bertanggungjawab membekalkan kelambu kepada pekerja untuk melindungi mereka daripada gigitan nyamuk. Bagi pekerja yang mengalami gejala malaria, mereka perlu menjalani pemeriksaan di klinik kesihatan berdekatan,” katanya ketika merasmikan sambutan Hari Malaria Sedunia Peringkat Sarawak di Dataran Bandar Kapit semalam.

Aaron yang juga Ahli Parlimen Kanowit berkata, kes malaria manusia jangkitan import di Sarawak juga dikesan dalam kalangan rakyat tempatan yang dijangkiti semasa bekerja di luar negara dan membawa parasit malaria tanpa disedari ketika pulang ke Sarawak.

“Risikonya adalah parasit malaria tersebut sangat berpotensi menyebarkan jangkitan malaria manusia kepada rakyat tempatan. Jadi, kita semua tidak boleh berasa selesa atau mengambil sikap sambil lewa.”

Dari aspek data pula, beliau berkata, jumlah kes malaria tertinggi pernah dicatatkan di Sarawak pada 1999 dengan 3,155 kes dan penurunan pada 2010 dengan jumlah kes 2,802 kes.

“Namun, sejak 2016, Sarawak berjaya mencapai sasaran sifar kes malaria manusia jangkitan tempatan (indigenous) dan mengekalkan pencapaian tersebut sehingga kini.”

Katanya, kejayaan status sifar itu hasil usaha Jabatan Kesihatan Negeri melaksanakan program kawalan dan eliminasi malaria dengan berkesan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.