
Ketua Setiausaha Negara, Zuki Ali dalam kenyataan berkata, jawatankuasa itu akan bersidang dengan secepat mungkin bagi menyiasat perkara tersebut.
“Jawatankuasa ini bertanggungjawab untuk mengendalikan siasatan secara terperinci bagi memberi pengadilan sewajarnya kepada kedua pihak.
“Hasil dan syor siasatan akan dibentangkan kepada perdana menteri untuk pertimbangan selanjutnya,” katanya.
Jawatankuasa itu akan turut disertai Ketua Polis Negara Acryl Sani Abdullah Sani, Ketua Audit Negara Nik Azman Nik Abdul Majid dan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki.
Semalam, Perdana Menteri Ismail Sabri berkata, siasatan itu perlu dijalankan secara adil kepada pengadu dan diadu.
Rabu lalu, Kesatuan Perkhidmatan Imigresen Semenanjung Malaysia (KPISM) menuntut KPPA memohon maaf secara terbuka susulan dakwaan beliau menengking seorang pegawainya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dengan kata-kata kesat.
Presiden KPISM, Khairil Niza Khairuddin dilaporkan berkata, kejadian itu berlaku di Balai Berlepas KLIA antara 8.40 pagi hingga 9.40 pagi, kerana tiada pegawai imigresen ditempatkan di kaunter bilik VIP.
Tetapi, Jabatan Perkhidmatan Awam menolak dakwaan itu dengan berkata, Shafiq sekadar menegur pegawai imigresen bernama James Lee atas ketidakpatuhan amalan dan prosedur kerana tidak menyemak dokumen perjalanan beliau serta delegasinya.