
Setiausaha Agung DAP Loke Siew Fook berkata, langkah ini adalah untuk melindungi parti daripada “kelompongan” dalam undang-undang anti-lompat parti yang baharu, tetapi sumber dalaman parti berkata, pindaan itu mungkin tidak perlu.
Penganalisis politik, Oh Ei Sun dari Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura berkata, rancangan Loke masih samar-samar. Sejauh mana cadangan itu akan menjejaskan wakil rakyat terpulang kepada bagaimana pindaan itu akan mentakrifkan tindakan mematuhi keputusan parti, katanya.
Sumber dalaman yang enggan dinamakan itu berkata, kuasa untuk memecat ahli atas masalah disiplin sudah termaktub dalam perlembagaan DAP.
Bagaimanapun, langkah memecat ahli disebabkan perbezaan pemikiran atau idea, akan “mengundang masalah”, katanya.
“Saya sebenarnya tak faham apa yang cuba (Loke) katakan atau apa yang beliau cuba buat dengan pindaan ini. Parti sudah ada kuasa untuk memecat ahli atas masalah tatatertib, malah kerana muflis atau didapati bersalah atas kesalahan jenayah,” katanya.
“(Tindakan) patuh keputusan parti ialah perkara yang sangat subjektif. Siapa yang tentukan keputusan parti? Jika mereka mahu sokong Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri, tetapi seseorang Ahli Parlimen tidak setuju, bolehkah mereka pecat Ahli Parlimen itu? Sepatutnya tidak boleh.”
Beliau juga mempersoalkan sama ada perlu mengadakan kongres khas untuk pindaan ini.
Undang-undang anti-lompat parti baharu yang diluluskan oleh Dewan Rakyat minggu lepas memperuntukkan bahawa seorang Ahli Parlimen yang dipecat oleh parti tidak perlu mengosongkan kerusinya, sekaligus mengurangkan satu undi bagi parti di Dewan Rakyat.
Loke berkata, perkara ini berpotensi menimbulkan situasi di mana mereka yang berniat untuk berpaling tadah akan sengaja menimbulkan masalah kepada parti dengan harapan mereka dipecat.
Bagaimanapun, Oh berkata, wujud keperluan untuk membezakan percanggahan pendapat yang mungkin timbul antara wakil rakyat dengan parti.
Dalam sistem demokrasi yang sihat, Ahli Parlimen harus mematuhi keputusan parti mengenai sokongan kepada perdana menteri, atau bajet kerajaan. Bagaimanapun, mereka harus bebas mengundi mengikut hati nurani atau ideologi dalam isu lain yang tidak melibatkan pembentukan atau kejatuhan kerajaan, katanya.
DAP akan mengadakan kongres khas pada 25 Sept untuk membahaskan cadangan pindaan perlembagaan parti ini.