Warga emas maut terperosok ketika potong rumput

Warga emas maut terperosok ketika potong rumput

Mangsa berusia 68 tahun terperosok di bawah kereta sambil tangannya masih memegang mesin rumput.

Mangsa yang juga pekerja kontrak terperosok di bawah kereta ketika sedang memotong rumput di tepi jalan. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Warga emas yang juga pekerja kontrak sebuah syarikat pembersihan maut dirempuh kereta ketika sedang memotong rumput, dalam kejadian di tepi jalan Taman Selasih, Kulim, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 1 tengah hari itu, mangsa, 68, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah pada kepala dan anggota badan.

Lebih menyayat hati, mangsa sejurus dirempuh Proton Iswara dipandu warga emas berusia 77 tahun itu, dikatakan terperosok di bawah kenderaan dalam keadaan tangannya masih memegang mesin rumput yang digunakan.

Ketua Polis Kulim Mohd Redzuan Salleh, berkata siasatan awal mendapati kereta dipandu warga emas itu hilang kawalan sebelum melanggar mangsa yang ketika itu sedang memotong rumput di bahagian kiri jalan.

“Pemeriksaan mendapati pemandu Proton Iswara terbabit ketika kejadian dalam perjalanan untuk pulang ke rumah di kawasan berhampiran.

“Buat masa sekarang, pemandu kereta terbabit ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya menurut Berita Harian.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.