
Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago dan Pengarah Eksekutif Inisiatif Utara-Selatan, Adrian Pereira berkata, walaupun respons Hamzah ada kebenarannya, terdapat petunjuk lain yang digunakan dalam laporan TIP menunjukkan kurangnya tindakan Malaysia bagi mengatasi pemerdagangan manusia.
“Kita mempunyai pelbagai memorandum persefahaman (MoU) dan protokol untuk anti-pemerdagangan orang, tetapi tiada tindakan lanjut,” Santiago memberitahu FMT.
Katanya, terdapat bukti mencukupi untuk mengheret pihak terbabit dalam aktiviti pemerdagangan manusia ke mahkamah, tetapi tiada pendakwaan.
“Kita perlu orang-orang ini menanggung akibatnya dan menghantar mesej bahawa kerajaan tidak membiarkan tindakan sedemikian.”
Pereira berkata, penguatkuasaan hanya satu daripada aspek untuk mengurangkan aktiviti pemerdagangan manusia dan siasatan ke atas puncanya perlu dilakukan.
“Ini boleh dicapai dengan menubuhkan suruhanjaya siasatan diraja terhadap salah laku dalaman di pelbagai kementerian yang terbabit dalam migrasi buruh, penguatkuasaan dan kawalan sempadan.”
Katanya, penjawat awam perlu berwaspada terhadap rasuah yang membawa kepada pemerdagangan manusia kerana ramai pendatang asing menjadi mangsa pemerdagangan orang dalam proses pengambilan bekerja.
Selasa lalu, Hamzah memberitahu Dewan Rakyat bahawa penilaian berasaskan tahap yang digunakan Jabatan Negara AS dalam laporan tahunan TIP berdasarkan undang-undang pemerdagangan mereka sendiri, iaitu Akta Perlindungan Mangsa Pemerdagangan Manusia 2000.
Laporan yang dikeluarkan bulan itu menyaksikan Malaysia kekal di Tahap 3, iaitu tahap terendah dalam laporan TIP. Malaysia berada di Tahap 2 dari 2018 hingga 2020, sebelum jatuh ke Tahap 3 tahun lalu.
Antara lain, katanya, Putrajaya tidak memenuhi piawaian minimum bagi menghapuskan pemerdagangan manusia, tiada usaha signifikan untuk berbuat demikian, tidak melaksanakan prosedur untuk mengenal pasti mangsa pemerdagangan secara sistematik, kerjasama antara agensi yang lemah dan tidak mendakwa pegawai kerajaan didakwa terbabit dalam jenayah pemerdagangan orang.
Hamzah berkata, walaupun kerajaan sudah bertindak terhadap aspek negatif itu, “ia masih tidak mencukupi untuk mempengaruhi penilaian Jabatan Negara AS”.