
Timbalan Menterinya, Rosol Wahid berkata, pada masa sama, pihaknya terus memantau semua syarikat berkaitan bekalan ayam bagi memastikan tiada kes berulang melibatkan pelanggaran antipersaingan atau lebih dikenali sebagai perjanjian kartel.
Katanya, pihaknya memandang serius perkara sebegini hingga menyebabkan isu harga ayam berlaku baru-baru ini sehingga menjejaskan pengguna.
“Apabila berlaku seperti hari itu, Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) diarah melakukan siasatan mengikut prosedur ditetapkan dan membawa kepada penemuan melibatkan lima syarikat.
“Kami di peringkat kementerian melihat kaedah stok penimbal mampu mengawal harga, maka ia dikembang ke beberapa produk bagi memastikan harga naik, boleh dikawal,” katanya menurut laporan Utusan Malaysia.
Terdahulu, Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob memberi amaran kepada mana-mana kartel yang cuba memanipulasi harga dan pasaran produk pertanian dan gus menegaskan, kerajaan sentiasa berusaha menangani manipulasi orang tengah, kewujudan kartel dalam sektor pertanian serta rangkaian bekalan makanan yang menyebabkan kenaikan harga barang dan inflasi.
Ia susulan pendedahan Ketua Pegawai Eksekutif MyCC, Iskandar Ismail semalam berhubung lima syarikat pengisar makanan berkaitan bekalan ayam dikesan melanggar Seksyen 4 Akta Persaingan 2010 dengan terbabit perjanjian antipersaingan yang dikesan menaikkan kuantum harga makanan ternakan ayam di negara ini.