
Azrul Mohd Khalib, ketua eksekutif Pusat Galen untuk Dasar Kesihatan dan Sosial, berkata pengkritik menegaskan campur tangan kerajaan tidak wajar kerana merokok dan menghisap vape adalah pilihan orang dewasa.
“Ini mengabaikan fakta yang diketahui sejak sekian lama bahawa kebanyakan orang mula merokok ketika remaja,” katanya kepada FMT.
Beliau berkata, menghisap vape yang sepatutnya untuk orang dewasa cuba berhenti merokok, kini dilihat dalam kalangan penuntut universiti dan kanak-kanak sekolah.

“Selagi tiada batasan dan kawalan dikenakan ke atas vape, perjalanan ke ketagihan nikotin bermula dalam kalangan kanak-kanak semuda 10 tahun.”
Beliau turut mengkritik hujah berhubung perokok boleh berhenti dan mula merokok berdasarkan kemahuan sendiri.
“Realitinya agak berbeza. Berhenti adalah sukar. Perokok memerlukan sekurang-kurangnya 30 cubaan dengan kadar tinggi untuk kembali kepada tabiat itu.”

Bekas timbalan menteri kesihatan, Dr Lee Boon Chye berkata, lapan juta kematian dicatatkan di seluruh dunia setahun akibat penyakit berkaitan merokok dan daripada jumlah itu, 1.2 juta adalah perokok pasif, iaitu mereka yang menderita akibat menghidu dan menyedut asap rokok tanpa disedari.
Beliau berkata, satu kajian kesihatan 2019 menunjukkan 31% individu bukan perokok terdedah kepada rokok pasif di rumah.
“Dengan 27,200 kematian di Malaysia setiap tahun – empat kali ganda kadar kematian kemalangan kenderaan bermotor – penyakit berkaitan merokok juga membebankan sumber penjagaan kesihatan secara signifikan,” katanya sambil menambah perokok hilang kebebasan selepas ketagih kerana hanya 30% hingga 40% daripada mereka berjaya membuang tabiat itu.
Beliau berkata, kebanyakannya berjaya menghentikan tabiat itu hanya selepas berdepan kejadian besar seperti serangan jantung.
“Malah, boleh dikatakan GEG mendiskriminasi mereka yang dilahirkan sebelum 2007 kerana ia tidak melindungi mereka daripada ketagihan tembakau.”