Kenyataan Tiong mengenai Pelosi ‘sukarkan’ kerajaan

Kenyataan Tiong mengenai Pelosi ‘sukarkan’ kerajaan

Bekas diplomat, Dennis Ignatius berkata, duta khas ke China itu tidak sepatutnya menyuarakan sentimen peribadi.

Duta Khas kepada perdana menteri ke China, Tiong King Sing mesti diingatkan beliau mewakili Malaysia dan menyuarakan pandangan kerajaan Malaysia, kata Dennis Ignatius.
PETALING JAYA:
Seorang duta khas kepada perdana menteri ke China meletakkan kerajaan dalam situasi sukar berikutan kritikannya terhadap lawatan Speaker Dewan Perwakilan AS, Nancy Pelosi ke Taiwan, kata seorang bekas diplomat.

Dennis Ignatius berkata, duta khas seperti Ahli Parlimen Bintulu, Tiong King Sing perlu bertindak sejajar pendirian kerajaan yang mereka wakili.

Beliau berkata, Menteri Luar, Saifuddin Abdullah telah membuat kenyataan seimbang mengenai AS dan China.

Bagaimanapun, Tiong sebelum ini berkata, lawatan Pelosi menjejaskan kestabilan rantau itu; beliau menuduh AS melanggar dasar “Satu China” dan menggesa negara barat tidak mengamalkan dwistandard dengan mengutuk pencerobohan Rusia di Ukraine, namun mencampur tangan di rantau Selat Taiwan serta menggunakan Taiwan untuk memecahbelahkan China, lapor Malaysiakini.

Semalam, Saifuddin berkata, Malaysia berpegang kepada dasar “Satu China” dan menggesa semua pihak berkaitan menangani situasi itu dengan berhati-hati.

Ignatius berkata, komen Tiong bertentangan pendirian kerajaan dan meletakkan negara dalam situasi sukar kerana Malaysia baru-baru ini mengalu-alukan Pelosi dan menyedari hakikat AS adalah rakan perdagangan dan keselamatan yang penting.

Katanya, Tiong nampaknya bertindak sendiri dan cuba mempertahankan Beijing atas apa jua alasan, sedangkan beliau sepatutnya bersuara seiring perdana menteri dan menteri luar.

Ignatius yang mempunyai pengalaman 36 tahun dalam perkhidmatan luar negara berkata, Tiong perlu diingatkan bahawa peranannya sebagai duta khas adalah untuk mewakili Malaysia dan menyuarakan pandangan kerajaan.

Katanya, Tiong tidak sepatutnya menyuarakan sentimen peribadi atau “lebih teruk lagi, menyatakan kedudukan Beijing”.

Pelosi melawat Taiwan pada Selasa lalu sebagai sebahagian lawatan Asia. Beliau adalah pegawai tertinggi AS yang pernah melawat negara itu, yang dianggap China sebagai wilayah pengkhianat.

China menyifatkan lawatan Pelosi sebagai “provokasi mengejutkan”.

Ignatius, yang pernah berkhidmat di Beijing, berkata tindakan Tiong adalah masalah biasa dalam kalangan utusan khas. “Berbeza dengan duta kami, mereka selalunya mempunyai kepentingan sendiri yang tidak semestinya sama dengan kepentingan negara.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.