‘Kamu tak nak dengar teguran tentera laut, itu pun salah PH ke? Fahmi bidas Najib

‘Kamu tak nak dengar teguran tentera laut, itu pun salah PH ke? Fahmi bidas Najib

Ketua Penerangan PKR itu mempersoalkan mengapa bekas perdana menteri, Najib Razak tidak mendengar teguran dibuat bekas panglima tentera laut, Abdul Aziz Jaafar berhubung masalah perolehan LCS.

Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) mendedahkan Kementerian Pertahanan dan Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) tidak menghiraukan pandangan tentera laut mengenai projek LCS. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Ketua Penerangan PKR, Fahmi Fadzil membidas tindakan bekas perdana menteri, Najib Razak yang menyalahkan Pakatan Harapan (PH) dalam isu projek kapal tempur pesisir (LCS) tanpa menyedari kesalahannya ketika berkuasa.

Fahmi yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai mempersoalkan mengapa Najib yang merupakan perdana menteri pada waktu itu tidak mendengar teguran dibuat bekas panglima tentera laut, Abdul Aziz Jaafar berhubung masalah perolehan kapal itu.

“Itu pun salah Pakatan (PH) ke?

“Dia tak pernah terfikir ke, kesemua 10 surat panglima tentera laut itu, kalau diterima dan diambil tindakan awal, mungkin tak sampai hangus RM6 bilion macam sekarang? Mungkin dah sampai kapal-kapal LCS diperlukan TLDM (Tentera Laut Diraja Malaysia)?,” katanya di Facebook.

Terdahulu, Najib menerusi catatan di Facebook mendakwa, PH telah melewatkan projek dan membekukan sepenuhnya projek LCS pada 2019.

Pada Khamis, Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) mendedahkan bahawa, Kementerian Pertahanan dan Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) tidak menghiraukan pandangan tentera laut mengenai projek LCS.

Ini berhubung perubahan daripada kapal model Sigma kepada model Gowind selepas dicadangkan oleh BNS kepada menteri pertahanan ketika itu, Ahmad Zahid Hamidi.

“Memetik kenyataan panglima tentera laut ketika itu, Abdul Aziz Jaafar, ada sesuatu yang sangat tidak kena dengan keputusan itu,” kata Pengerusi PAC Wong Kah Woh pada sidang media di Parlimen.

Beliau berkata, tiada sebuah pun LCS yang diserahkan kepada kerajaan sehingga kini, walaupun RM6.08 bilion telah dibayar kepada BNS, yang memperoleh projek tersebut secara rundingan terus.

Katanya, mengikut jadual asal, syarikat terbabit sepatutnya menyerahkan lima unit LCS sejak 2013 hingga bulan ini kepada kerajaan.

Pada 27 Julai, Timbalan Menteri Pertahanan Ikmal Hisham Abdul Aziz berkata, SPRM telah menyiapkan siasatan berhubung skandal LCS, dengan tuduhan disyorkan kepada Jabatan Peguam Negara.

Susulan laporan PAC tersebut, Menteri Kanan Pertahanan Hishammuddin Hussein berkata, kementeriannya akan mematuhi semua saranan bagi projek tersebut.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.