
“Pendekatan mesej kami kepada masyarakat Melayu ialah kami tidak menentang mereka,” katanya berhubung rancangannya untuk meningkatkan sokongan masyarakat itu.
DAP sudah lama bergelut untuk mendapat sokongan masyarakat Melayu, dengan seteru melabelkannya parti chauvinis kerana memperjuangkan pendidikan dan bahasa Cina.
Tetapi, Loke berkata: “Kami berjuang untuk (semua) rakyat Malaysia. Kami mahu tadbir urus yang baik, masyarakat bebas daripada rasuah dan kerajaan yang adil kepada rakyatnya. Nilai-nilai ini perlu disampaikan kepada masyarakat Melayu.”
Dalam wawancara khas bersama FMT, katanya, tiada formula ajaib untuk meningkatkan sokongan orang Melayu dan mereka perlu terus mengadakan libat urus dengan orang Melayu dan memastikan lebih banyak kepelbagaian dalam pucuk pimpinannya.
“Kini, kami ada beberapa pemimpin Melayu muda dalam Jawatankuasa Eksekutif Pusat seperti Syahredzan Johan dan Young Syefura Othman. Kita perlu melatih lebih ramai daripada semua komuniti, termasuk masyarakat Melayu untuk DAP menjadi parti berbilang kaum yang sebenar.”
Loke turut menolak tanggapan DAP adalah “bogeyman” dalam kalangan orang Melayu, sebaliknya ia sekadar “punching bag semula jadi” bagi parti berasaskan Melayu.
“Semua parti Melayu utama, tidak kira Umno, PAS atau Bersatu, akan cuba melabelkan kami sebagai parti anti-Melayu dan menjadikan kami ‘punching bag’ mereka.
“Bahkan sekarang, walaupun tidak lagi berada dalam kerajaan, kami masih dipersalahkan,” katanya sambil menambah tidak masuk akal untuk memikirkan DAP dapat mengawal seluruh kerajaan dengan hanya enam menteri dalam Kabinet dengan 28 anggota ketika Pakatan Harapan berkuasa.