
Lim Teck Wyn daripada Persatuan Hutan Komuniti Shah Alam (SACF) dan Damien Thaman Divean daripada Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (Peka) memfailkan permohonan itu di Mahkamah Tinggi Shah Alam semalam.
Mereka menamakan kerajaan Selangor, Exconya, pengarah Jabatan Perhutanan negeri dan pejabat tanah dan galian Petaling sebagai responden.
Kedua-dua NGO itu, yang diwakili peguam Rajesh Nagarajan dan Sachpreetraj Singh Sohanpal, mencabar kesahan penyahwartaan tanah seluas 406 hektar di Hutan Simpan Bukit Cherakah.
Menurut permohonan yang dilihat FMT, NGO itu berkata, keputusan untuk menyahwarta kawasan itu dibuat 22 tahun lepas dan oleh itu, sudah “lapuk”.
Mereka berhujah bahawa kerajaan negeri juga melanggar undang-undang dengan “mengundur tarikh” notis pemberitahuan warta yang dikeluarkan pada 5 Mei tahun ini oleh Jabatan Perhutanan Selangor untuk merujuk kepada keputusan Exco pada 2000.
Mereka juga berkata, kerajaan negeri sepatutnya mengadakan inkuiri awam, seperti yang termaktub bawah Enakmen Akta Perhutanan Negara (Pindaan) 2011.
Bulan lepas, SACF menyelar keputusan kerajaan Selangor untuk mengambil alih tanah di Hutan Simpan Bukit Cherakah, dengan mengatakan ia dibuat tanpa notis awal.
Persatuan itu menuduh kerajaan negeri bertindak menyalahi undang-undang dalam mengambil tanah itu tanpa notis awal dan inkuiri awam, serta tanpa menggantikan tanah tersebut.
Rajesh memberitahu FMT, tindakan mengundur tarikh pengambilan tanah itu menyalahi undang-undang. Perkara seperti itu tidak digalakkan di sisi undang-undang dan hanya patut dilakukan dalam keadaan terhad oleh Parlimen.
“Apa yang dilakukan kerajaan Selangor adalah (tindakan) memualkan dan sangat dibenci,” katanya.
Perbicaraan di Mahkamah Tinggi Shah Alam telah ditetapkan pada Khamis depan di hadapan hakim Shahnaz Sulaiman.