
Lim berkata, DUN perlu menggunakan sidang khas untuk menentukan status Dr Afif Bahardin (Seberang Jaya) dan Zulkifli Ibrahim (Sungai Acheh) yang dipecat PKR pada 2020.
ADUN Air Putih itu berkata, Seksyen 14A Enakmen Anti-lompat Parti Pulau Pinang, yang mana Mahkamah Persekutuan putuskan ia berperlembagaan, menyatakan ADUN dipecat parti perlu mengosongkan kerusi mereka.
Beliau turut mendapati ADUN Bersatu, Mehtab Mohd Ishaq (Bertam) dan Zolkifly Md Lazim (Telok Bahang) akan dikecualikan daripada enakmen itu.
“Disebabkan pindaan baharu kepada Perlembagaan Persekutuan belum diwartakan lagi, penghakiman Mahkamah Persekutuan bermakna Seksyen 14A dirangkumi kuasa undang-undang dan perlu digunakan terhadap dua bekas ADUN PKR itu (Afif dan Zulkifli),” katanya dalam kenyataan.
Rabu lalu, Mahkamah Persekutuan mengisytiharkan Enakmen Anti-lompat Parti yang diluluskan DUN Pulau Pinang pada 2012 berperlembagaan.
Tetapi, empat ADUN itu menggesa Pulau Pinang menyeragamkan perlembagaan negeri sejajar cadangan pindaan Perlembagaan Persekutuan berkaitan anti-lompat parti.
Berdasarkan akta anti-lompat parti persekutuan yang diluluskan baru-baru ini, Ahli Parlimen dipecat parti masih boleh terus menyandang kerusi masing-masing.
Kerajaan Pulau Pinang dijangka menentukan nasib empat ADUN itu dalam mesyuarat exco hari ini.