MM2H terjejas kerana syarat tak munasabah, kata pengkritik

MM2H terjejas kerana syarat tak munasabah, kata pengkritik

Pengkritik berkata langkah kerajaan menimbulkan persepsi negatif dalam kalangan komuniti MM2H.

Program MM2H bertujuan menarik warga asing untuk tinggal jangka panjang di Malaysia.
PETALING JAYA:
Pengkritik mendakwa kerajaan menjejaskan program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) dengan mengenakan syarat tidak munasabah.

Pengerusi Dewan Perniagaan Ireland Malaysia, Donal Crotty, berkata kerajaan seolah-olah tidak mempunyai “komitmen sebenar” terhadap program itu, manakala Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Pendidikan Pasaran, Carmelo Ferlito, berkata Putrajaya menghantar mesej bahawa ia hanya mahu menarik individu dengan nilai bersih tinggi.

Program MM2H bertujuan menarik warga asing untuk tinggal jangka panjang di Malaysia.

Semalam, Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin memberitahu Dewan Rakyat bahawa 1,461 orang memohon untuk menarik diri daripada program itu antara September tahun lepas dan Jun tahun ini.

Hamzah mendakwa, penarikan diri itu bukan disebabkan syarat baharu yang ditetapkan kerajaan.

Katanya, kebanyakan syarat baharu itu tidak menjejaskan peserta MM2H sedia ada, kecuali berhubung tempoh pembaharuan pas, yuran pemprosesan dan yuran pembaharuan RM500.

Syarat baharu itu, yang diumumkan Ogos tahun lepas, termasuk keperluan pemohon mempunyai simpanan tetap sekurang-kurangnya RM1 juta dan mengisytiharkan aset cair sekurang-kurangnya RM1.5 juta.

Crotty berkata, MM2H pada asalnya dibina atas dasar kepercayaan, keyakinan dan keselamatan, dan perubahan dasar kerajaan memudaratkan program itu.

“Apa yang cenderung dilupakan ialah keyakinan dan kepercayaan bukan sahaja menjejaskan ahli MM2H tetapi komuniti ekspatriat secara keseluruhan serta reputasi Malaysia sebagai sebuah negara untuk melabur dan didiami.

“Dirasakan tiada komitmen sebenar daripada kerajaan kerana program itu bukan tentang rakyat, tetapi wang,” katanya.

Ferlito berkata, syarat baharu itu menimbulkan persepsi negatif dalam kalangan komuniti MM2H dengan memberi isyarat bahawa mereka tidak disenangi jika tidak mempunyai pendapatan yang mencukupi.

“Langkah itu bukan sahaja menjadi penghalang bagi peserta sedia ada, malah mengurangkan tarikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan,” katanya.

Presiden Persatuan Ejen MM2H, Anthony Liew, berkata syarat baharu itu sukar bagi bakal peserta, dengan ramai yang berasa tidak selamat dan tidak pasti berhubung dasar kerajaan.

Beliau menyifatkan dasar Putrajaya sebagai tidak konsisten dan berkata, sesetengah pelanggannya berpendapat kerajaan berkemungkinan menarik balik atau mengubah syarat itu sesuka hati.

Sebelum ini, bakal peserta MM2H disyaratkan mempunyai simpanan antara RM300,000 dan RM500,000. Pemohon kini juga mesti mempunyai pendapatan luar pesisir sekurang-kurangnya RM40,000 sebulan, berbanding RM10,000 sebelum ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.