Mana laporan siasatan berkait GLC sejak 2018, C4 soal SPRM

Mana laporan siasatan berkait GLC sejak 2018, C4 soal SPRM

Badan anti-rasuah itu berkata SPRM memulakan siasatan terhadap aktiviti Pembinaan PFI Sdn Bhd namun tidak mendedahkan laporan siasatan sejak empat tahun lalu.

SPRM memulakan siasatan terhadap syarikat itu pada 2018 selepas menemu bual Ahli Parlimen Bangi Ong Kian Ming, namun sejak itu tiada perkembangan dilaporkan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4) menuntut Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) menyediakan perkembangan siasatan terhadap syarikat berkaitan kerajaan (GLC), Pembinaan PFI Sdn Bhd.

Pembinaan PFI Sdn Bhd merupakan GLC yang dilaporkan ditubuh bagi pelaksanaan inisiatif pembiayaan swasta (PFI).

PFI adalah bentuk kerjasama awam-swasta mendanai projek awam dibiayai konsesi sektor swasta, di mana mereka akan dibayar semula dalam tempoh konsesi.

Bercakap pada pelancaran laporan C4 berhubung PFI, ahli ekonomi, Edmund Terence Gomez, berkata SPRM mula menyiasat syarikat itu, pada 2018, susulan temu bual dengan Ahli Parlimen Bangi Ong Kian Ming, namun tiada perkembangan berhubung siasatan sejak itu.

Edmund Terence Gomez.

“Selepas empat tahun, SPRM tidak mengeluarkan sebarang maklumat berkaitan siasatan terhadap Pembinaan PFI Sdn Bhd,” katanya sambil menyatakan ia turut menunjukkan pegawai SPRM mempunyai kemahiran terhad untuk menyiasat kes rumit.

Katanya, semua dasar PFI sepatutnya hanya diurus dan dilaksanakan Unit Kerjasama Awam-Swasta, agensi bawah Jabatan Perdana Menteri.

Penyelidik Penyiasatan C4, Pushpan Murugiah, berkata untuk membiayai projek PFI, Pembinaan PFI Sdn Bhd, mendapat pinjaman berjumlah RM30 bilion daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP).

“Bagaimanapun, wang dipinjam tidak disalur kepada mereka. Ia diletakkan dalam dana amanah,” kata Pushpan sambil menyatakan syarikat berkenaan tidak mempunyai kawalan terhadap wang dipinjam daripada dana persaraan.

Pushpan Murugiah.

Katanya, Pembinaan PFI Sdn Bhd merupakan syarikat cengkerang (shell company) dengan tidak mempunyai kakitangan pengurusan, selain hanya dikendalikan pengarahnya sahaja.

Beliau berkata, cagaran bagi pinjaman dibuat adalah tanah kerajaan yang dipajak kepada Pembinaan PFI Sdn Bhd oleh pesuruhjaya tanah persekutuan.

Tanpa pendapatan, katanya, Pembinaan PFI kemudian memajak semula plot tanah kepada pesuruhjaya tanah persekutuan berjumlah RM29 bilion untuk membayar pinjaman kepada KWSP.

Gomez mendakwa, apabila C4 bertemu dengan KWSP, dana pencen itu menegaskan mereka mempunyai kuasa memberi pinjaman berjumlah RM26.037 bilion kepada Pembinaan PFI dengan menerima kadar faedah 4%.

Dalam laporannya, C4 menyatakan, dana diraih Pembinaan PFI diperoleh dalam dua peringkat. Peringkat pertama, perjanjian pertama (PFI 1), pada 2007, bernilai RM20 bilion daripada KWSP, manakala peringkat kedua (PFI 2) pada 2012, berjumlah RM6.037 bilion daripada KWSP dan RM3.963 billion daripada KWAP.

“Bukankah kadar pulangan 4% terhadap lebih RM25 bilion adalah rendah? Ia boleh dilabur di tempat lain yang mampu memberi pulangan lebih tinggi,” katanya sambil menyatakan langkah itu mampu memberi manfaat kepada pencarum.

“Jadi, adakah KWSP bebas dan bertanggungjawab dalam menguruskan wang berkenaan? Mereka tegas menyatakan itu lah yang dilakukan, namun saya kena mempersoalkan perkara itu.”

FMT sedang mendapatkan maklum balas daripada KWSP.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.