
Peguam Indira, L Pavitra berkata, mereka akan merayu keputusan mahkamah tersebut
Indira menyuarakan kekecewaannya dengan keputusan mahkamah hari ini, dengan berkata kes itu telah berjalan selama 13 tahun “tanpa harapan untuk penyelesaian”.
“Sebagai ibu, saya sudah lama tunggu (untuk berjumpa dengan Prasana Diksa). Walau apa pun, saya akan berjumpa dengannya lagi,” katanya.
Pengerusi Pasukan Bertindak Indira Gandhi (Ingat) Arun Dorasamy berkata, mereka telah “kehabisan semua jalan” dan akan cuba mendapatkan bantuan Ahli Parlimen.
Walaupun dilaporkan bekas KPN telah menubuhkan sebuah pasukan petugas khas, Arun berkata, mereka tidak pasti sama ada ia masih wujud.
“Tiada seorang pun pegawai penguat kuasa undang-undang dapat beritahu kami dengan pasti sama ada (Prasana) masih hidup,” katanya.
“Bekas KPN Abdul Hamid Bador berkata, beliau tahu di mana (Prasana) berada. (Jika tahu), mengapa tidak hantarnya pulang kepada Indira Gandhi?”
Prasana diambil bapanya, Muhammad Riduan Abdullah, yang sebelum ini dikenali sebagai K Pathmanathan, pada 2009 dan diislamkan secara sepihak.
Indira memfailkan prosiding menghina mahkamah kerana polis gagal mematuhi perintah mandamus yang dikeluarkan pada 30 Mei 2014 untuk mendapatkan semula Prasana dan memfailkan afidavit setiap bulan beserta salinan laporan siasatan.
Beliau turut memfailkan saman sivil RM100 juta secara berasingan terhadap KPN, polis dan kerajaan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur atas ketiadaan tindakan pihak berkuasa berhubung perkara itu.
Pada 29 Jan 2018, panel lima hakim Mahkamah Persekutuan membenarkan deklarasi dimohon Indira bahawa tiada ibu atau bapa secara tunggal boleh menukar agama anak-anak bawah umur walaupun telah memeluk Islam.
Berikutan keputusan ini, sijil penukaran agama yang dikeluarkan oleh pendaftar mualaf Perak bagi tiga anaknya – Tevi Darshiny, Karan Dinesh dan Prasana – terbatal dan menjadi tidak sah.
Indira dan Riduan (ketika itu, Pathmanathan) berkahwin pada 10 April 1993, tetapi Riduan memeluk Islam pada 11 Mac 2009.
Lokasi Riduan dan Prasana kini tidak diketahui.