Lebih 11,000 kes jenayah siber direkod dari Januari hingga Julai, kata polis

Lebih 11,000 kes jenayah siber direkod dari Januari hingga Julai, kata polis

Macau Scam sehingga kini merekodkan 4,912 kes melibatkan kerugian RM199.8 juta, selain phishing dengan kerugian RM40.5 juta.

Trend jenayah siber dari 2016 hingga Julai 2022 menunjukkan peningkatan daripada 39% kepada 61%, kata Timbalan Pengarah (Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia) Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Victor Sanjos.
PETALING JAYA:
Sebanyak 11,367 kes atau 61% jenayah siber direkodkan dari Januari hingga Julai tahun ini, kata Timbalan Pengarah (Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia) Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Victor Sanjos.

Beliau berkata, trend jenayah siber dari 2016 hingga Julai 2022 menunjukkan peningkatan daripada 39% kepada 61%.

Terdapat enam jenis penipuan dalam talian iaitu Macau Scam, jenayah e-dagang, pinjaman tidak wujud, pelaburan tidak wujud, 419 scam atau love scam, dan memancing data (phishing).

“Macau Scam atau panggilan penyamaran/penipuan sehingga kini merekodkan 4,912 kes melibatkan kerugian RM199.8 juta, jenayah e-dagang mencatatkan 5,397 kes dengan kerugian RM71.6 juta, dan e-financial fraud (penipuan kewangan dalam talian) atau phishing pula sebanyak 543 kes dengan kerugian RM40.5 juta,” katanya dalam webinar bertajuk ‘Duit dalam akaun bank anda lesap. Apakah puncanya dan langkah mencegahnya’ semalam.

Menurut Bernama, Victor berkata, wang dalam akaun bank hilang ini berlaku sejak wujudnya phishing dan internet selain pihak bank juga menawarkan perkhidmatan secara dalam talian.

“Jadi, apa yang dibuat oleh scammer adalah mereka mencipta satu laman web seakan-akan bank berkenaan.

“Selaras dengan perkembangan teknologi, scammer terfikir untuk buat apps scam (aplikasi scam), ini biasanya satu taktik phishing yang digunakan scammers untuk mendapatkan nama, kata laluan dan maklumat lain tentang pengguna,” katanya.

Beliau berkata, selepas pengguna memuat naik aplikasi scam ini, aplikasi tersebut akan minta untuk mengambil alih peranan khidmat pesanan ringkas (SMS) dan sekiranya pengguna membenarkan perkara tersebut maka ia memudahkan scammers untuk menjalankan aktiviti.

Menurut Victor, antara modus operandi yang biasa digunakan scammers ialah iklan di platform media sosial – apps scam merekodkan 39 kes melibatkan kerugian RM721,728.69 oleh individu tertentu dari Januari hingga Julai 2022.

“Mangsa sebenarnya yang melibatkan diri mereka tetapi kadang-kadang lupa bahawa mereka yang mendedahkan diri mereka,” katanya.

Sementara itu, Pengurus (Bahagian Pertanyaan dan Aduan) Bank Negara Malaysia, Vijayadurai Singgatore, berkata BNM sentiasa menyeru orang ramai untuk cakna dengan tipu helah atau tawaran dibuat oleh scammer sama ada ia logik atau tidak.

“Kita kena bijak guna teknologi, aplikasi yang diberi melalui WhatsApp jangan mudah percaya, hyperlink yang diberi jangan main klik dan buat transaksi, itu mungkin perangkap,” katanya.

BNM dan pihak industri perbankan juga sentiasa meningkatkan taraf keselamatan supaya pengguna yakin dengan keselamatan sistem yang ditawarkan.

“Sekarang perbankan internet siap dengan gambar kena sepadan, captcha. Dalam masa sama ada banyak bank sudah meningkatkan tahap keselamatan dengan membuat ikatan peranti (device binding) iaitu sekiranya pengguna mahu buat perbankan internet, mesti guna peranti yang didaftarkan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.