31 laporan AEFI libat kanak-kanak penerima vaksin Covid-19, kata KKM

31 laporan AEFI libat kanak-kanak penerima vaksin Covid-19, kata KKM

Sejumlah 1.76 juta atau 49.8% kanak-kanak sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin sehingga 2 Ogos lalu.

Timbalan Menteri Kesihatan Dr Noor Azmi Ghazali berkata, kebanyakan mereka terkesan susulan imunisasi mengalami gejala demam serta sedikit kesakitan dan bengkak di tempat suntikan.
TAIPING:
Kementerian Kesihatan (KKM) hanya menerima 31 laporan kesan mudarat berikutan imunisasi (AEFI) vaksin Covid-19 bagi kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun di negara ini yang diklasifikasikan sebagai serius, setakat ini.

Timbalan Menteri Kesihatan Dr Noor Azmi Ghazali, berkata sejumlah 1.76 juta atau 49.8% kanak-kanak sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin Covid-19, sehingga 2 Ogos lalu.

“Mereka (kanak-kanak) yang terkesan AEFI ini telah diberikan rawatan yang sewajarnya di hospital dan telah pulang ke rumah. Kebanyakan mereka yang terkesan AEFI ini mengalami gejala seperti demam serta sedikit kesakitan dan bengkak di tempat suntikan….itu perkara biasa,” katanya.

Katanya selepas merasmikan Majlis Sambutan Minggu Penyusuan Susu Ibu Sedunia Peringkat Negeri Perak Tahun 2022 yang turut dihadiri Pengarah Kesihatan Negeri Perak, Dr Sirajuddin Hashim.

Sementara itu, Azmi berkata, bayi yang menjalani proses penyusuan ibu sekurang-kurangnya enam bulan mampu menghindari penyakit yang serius antaranya penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD).

Beliau berkata, ini kerana, susu ibu adalah makanan mempunyai cukup zat dan nutrisi, selamat serta bersih berbanding susu formula.

“Susu ibu mampu memberi daya tahan atau antibodi yang lebih tinggi kepada bayi dan kanak-kanak. Badan mereka lebih mempunyai daya tahan yang tinggi dan imun sistem yang lebih baik untuk menghalang penyakit atau pun kalau terkena penyakit pun, tidak lah begitu teruk,” katanya.

Terdahulu, Azmi dalam ucapannya berkata, KKM telah meletakkan inisiatif penyusuan susu ibu dalam kerangka Pelan Tindakan Pemakanan Kebangsaan Malaysia (NPANM) antaranya Inisiatif Hospital Rakan Bayi, Klinik Rakan Bayi dan Penubuhan Kumpulan Sokongan Penyusuan Susu Ibu.

“Pihak KKM juga memudahcara penubuhan Kumpulan Sokongan Penyusuan susu ibu di setiap fasiliti kesihatan dan menjalankan latihan kepada anggota kumpulan sokongan ini,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.