Sultanah tak pernah beri arahan lantik Jho Low dalam TIA, bekas MB beritahu mahkamah

Sultanah tak pernah beri arahan lantik Jho Low dalam TIA, bekas MB beritahu mahkamah

Bekas menteri besar Terengganu Ahmad Said menegaskan beliau tidak pernah menerima sebarang pandangan atau nasihat berhubung TIA daripada Sultanah Nur Zahirah.

Ahmad Said menegaskan dakwaan Sultanah Nur Zahirah menggunakan kedudukan serta peranan baginda untuk mempengaruhi penubuhan TIA adalah palsu. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Bekas menteri besar Terengganu, Ahmad Said memberitahu Mahkamah Tinggi, beliau tidak pernah menerima sebarang arahan atau titah daripada Sultanah Terengganu Sultanah Nur Zahirah supaya melantik ahli perniagaan, Low Taek Jho atau Jho Low dalam urusan Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA).

Ahmad, 67, yang memegang jawatan itu sejak 2008 hingga 2014, menegaskan bahawa, beliau juga tidak pernah menerima sebarang pandangan atau nasihat berhubung TIA daripada Sultanah Nur Zahirah.

Beliau berkata, demikian ketika pemeriksaan semula oleh peguam Haziq Pillay Abdullah yang mewakili Sultanah Nur Zahirah, pada perbicaraan kes saman terhadap Editor Sarawak Report Clare Rewcastle-Brown dan dua lagi berkenaan dakwaan Rewcastle-Brown dalam buku The Sarawak Report-The Inside Story of the 1MDB Expose menggambarkan baginda sebagai seorang yang berpengaruh serta mempunyai kuasa untuk mempengaruhi kerajaan negeri Terengganu.

“Selaku ketua eksekutif kanan negeri itu, yang telah menubuhkan TIA, saya tidak pernah sekali pun melihat Sultanah Nur Zahirah terlibat dengan TIA. Saya, mahupun kerajaan negeri atau barisan exco tidak pernah melantik Jho Low sebagai penasihat mahupun ahli lembaga pengarah atau apa-apa jawatan dalam TIA.

“Tidak pernah sekalipun saya bertemu atau bersua dengan Sultanah Terengganu ketika TIA ditubuhkan, sebab itu, saya menafikan sekeras-kerasnya. Saya tidak pernah menerima arahan, titah atau sebagainya yang mengatakan (kerajaan negeri) perlu melantik Jho Low atau sesiapa sahaja,” katanya ketika memberi keterangan secara dalam talian.

Dalam pernyataan saksinya, Ahmad yang juga saksi plaintif ketiga dan terakhir, menegaskan bahawa dakwaan Sultanah Nur Zahirah menggunakan kedudukan serta peranan baginda untuk mempengaruhi penubuhan TIA adalah palsu dan tidak berasas sama sekali kerana baginda tidak pernah mempunyai peranan, apatah lagi mempengaruhi atau melibatkan diri dalam penubuhan TIA yang sememangnya ditubuhkan oleh kerajaan negeri semasa beliau memegang jawatan menteri besar.

“Sebagai Sultanah iaitu isteri kepada Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Terengganu, pada kebiasaannya baginda, hanya mengiringi Tuanku Sultan dalam sebarang majlis rasmi, di mana Tuanku Sultan telah perkenan mencemar duli untuk hadir, selain sebarang majlis lain yang Tuanku Sultanah telah perkenan mencemar duli untuk hadir atas kapasiti baginda sendiri selaku Sultanah Terengganu, terutamanya dalam majlis-majlis rasmi di Universiti Malaysia Terengganu dan Universiti Sultan Zainal Abidin, di mana Tuanku Sultanah adalah Tuanku Canselor bagi kedua-dua universiti tersebut,” kata Ahmad.

Sultanah Nur Zahirah, yang memfailkan saman itu pada 21 Nov 2018, mendakwa kenyataan berbaur fitnah itu antara lain bermaksud baginda terlibat dalam amalan rasuah serta mencampuri urusan pentadbiran kerajaan negeri Terengganu selain menggunakan status baginda untuk mempengaruhi penubuhan TIA, yang kemudian dikenali sebagai 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Sultanah Nur Zahirah juga mendakwa kenyataan itu membawa maksud baginda telah membantu Jho Low, yang kini dalam buruan, menjadi penasihat TIA.

Baginda menuntut ganti rugi am sebanyak RM100 juta daripada setiap defendan serta memohon perintah supaya penerbit menarik balik buku yang mengandungi kenyataan fitnah itu dan supaya pencetak berhenti mencetak buku tersebut.

Perbicaraan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Dr John Lee Kien How @ Mohd Johan Lee bersambung.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.