
Pengerusi PAC, Wong Kah Woh berkata, pada asalnya, kapal model Sigma yang dipilih TLDM telah diluluskan Kementah, tetapi ia ditukar kepada model Gowind pada 11 Julai 2011 atas cadangan BNS pada 8 Julai 2011.
“Memetik kenyataan Tan Sri Abdul Aziz, panglima tentera laut ketika itu, keputusan tersebut adalah ‘something is gravely wrong’ (sesuatu yang sangat tidak kena),” katanya pada sidang media di Parlimen.
Wong mendedahkan perkara itu ketika membentangkan laporan PAC berhubung perkembangan perolehan kapal LCS dengan nilai kontrak RM9.1286 bilion antara 3 Okt 2013 hingga 2 Okt 2023.
Beliau berkata, tiada sebuah pun LCS yang diserahkan kepada kerajaan sehingga kini, walaupun RM6.08 bilion telah dibayar kepada BNS.
Katanya, mengikut jadual asal syarikat terbabit yang diberikan kontrak secara runding terus, ia sepatutnya menyerahkan lima unit LCS sejak 2013 hingga bulan ini kepada kerajaan.
Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi, antara pegawai tertinggi yang dipanggil PAC, ialah menteri pertahanan pada 2011 ketika perjanjian itu dimeterai.
Wong berkata, laporan itu turut mendapati kerajaan gagal mengesan kedudukan kewangan lemah BNS berdasarkan pekeliling Perbendaharaan pada 2007 dan membayar pendahuluan berjumlah RM1.36 bilion.
“Surat pekeliling Perbendaharaan mendapati kedudukan kewangan syarikat BNS adalah lemah dan kritikal disebabkan salah guna kuasa dan kepincangan dalam pengurusan kewangan.
“Setakat 2018, hutang BNS kepada OEM sebanyak RM801 juta, manakala pinjaman BNS dengan institusi kewangan sebanyak RM956 juta.”
Katanya, terma kontrak juga “lemah” dan tidak memihak kepada kerajaan, malah pembayaran itu bukan berdasarkan kemajuan sebenar, sebaliknya hanya mengikut kemajuan aktiviti atau pembekalan item.
Dalam pada itu, laporan PAC turut mendedahkan rekaan akhir belum dimuktamadkan oleh kerajaan dan BNS.
“Hal ini menyebabkan arahan perubahan kerja (VO) dikeluarkan secara berterusan dan membuka ruang untuk manipulasi berlaku. Malah, pembayaran diterima tidak digunakan untuk projek LCS sepenuhnya menyebabkan BNS menghadapi ‘cost overrun’ sebanyak RM1.4005 bilion.
“Peralatan yang disimpan dalam stor bagi projek LCS dianggarkan berjumlah RM1.7 bilion dan dianggarkan 15% telah pun usang.”
Justeru, sebagai langkah penambahbaikan, PAC mengesyorkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengambil tindakan segera terhadap semua penemuan laporannya.
“Kementah juga perlu membentangkan laporan kemajuan projek LCS setiap tiga bulan kepada PAC sehingga ia disempurnakan, iaitu 2 Okt tahun depan seperti perancangan awal.”