
Katanya, laporan bedah siasat itu perlu bagi membantu merungkai punca sebenar kematian Kim Shih Keat, 36.
“Walaupun kematian berlaku 28 Jun, sudah lebih sebulan, kami masih belum terima laporan tentang kematian tersebut, seperti hasil bedah siasat dan laporan kimia.
“Jika punca kematian tidak dapat dikenal pasti, maka sepatutnya satu inkues perlu diadakan,” katanya pada sidang media di Parlimen bersama beberapa wakil pembangkang termasuk Ahli Parlimen Klang Charles Santiago dan Ahli Parlimen Batu Kawan Kasthuri Patto.
Turut hadir wakil Suara Rakyat Malaysia (Suaram) dan ahli keluarga tahanan.
Ramkarpal, yang juga peguam mewakili keluarga tahanan, turut memaklumkan pihaknya telah menulis surat kepada hakim koroner di Johor dua hari lepas untuk mengetahui sama ada mahkamah telah menjalankan inkues berhubung kematian Kim.
Bagaimanapun, pihaknya belum menerima jawapan, katanya.
“Jika inkues tidak dijalankan oleh (koroner), kami akan mohon untuk satu inkues dibuat secepat mungkin memandangkan keadaan kematian (Kim) mencurigakan,” kata Ramkarpal, yang juga Ahli Parlimen Bukit Gelugor.
Sementara itu, Santiago berkata, kes kematian dalam tahanan tidak boleh dipandang ringan.
Hal ini kerana, katanya, tahun ini sahaja setakat Julai, terdapat 18 kematian dalam tahanan berlaku, bukan satu angka yang rendah.
“Ini bermaksud, (lebih) 2 orang mati setiap bulan, malah sehingga kini tiada sebarang perkembangan mengenai siasatan,” katanya.
Kasthuri pula berkata, pihaknya kecewa dengan jawapan diberikan pihak Kementerian Dalam Negeri sebelum ini bahawa tiada keperluan bagi anggota polis dilengkapkan dengan kamera badan.
Peruntukan dana bagi tujuan itu dalam belanjawan telah beberapa kali dibangkitkan oleh Ahli Parlimen, tambahnya.
Beliau berkata, kamera badan itu berguna semasa polis berada bersama tahanan.
“Selain itu, perlu juga kamera litar tertutup (CCTV) dalam penjara, lokap,” katanya sambil menambah, langkah ini bagi memudahkan usaha mencari punca sebenar kematian tahanan.
Pada 22 Jun, Kim dijatuhi hukuman penjara tujuh hari dan denda RM15,000, sementara lesen memandunya digantung selama dua tahun, kerana memandu bawah pengaruh alkohol.
Bagaimanapun, keluarganya mendakwa menerima panggilan memaklumkan bahawa Kim meninggal dunia di hospital pada 28 Jun selepas didapati tidak sedarkan diri di Penjara Kluang, iaitu hari dia sepatutnya dibebaskan.
Pemangku Ketua Polis Kluang Abdul Razak Abdullah Sani sebelum ini mengesahkan pihaknya menerima dua laporan berhubung kejadian itu dan memaklumkan siasatan lanjut sedang dijalankan.